MAZMUR 119:17-48

MAZMUR 119:17-48 Alkitab Berita Baik (BM)

Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu, supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu. Bukalah mataku supaya aku dapat melihat ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu. Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika; janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku. Hatiku sangat rindu untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu. Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu.

MAZMUR 119:17-48 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu. Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu.