MAZMUR 119:129-136
MAZMUR 119:129-136 Alkitab Berita Baik (BM)
Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.
MAZMUR 119:129-136 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya. Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus. Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu. Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu. Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku. Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu. Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.