MAZMUR 118:19-29
MAZMUR 118:19-29 Alkitab Berita Baik (BM)
Bukalah pintu gerbang Rumah TUHAN untukku, supaya aku masuk dan bersyukur kepada TUHAN! Inilah pintu gerbang TUHAN; hanya umat Allah boleh memasukinya. Aku memuji-Mu, TUHAN, kerana Engkau mendengar seruanku, kerana Engkau telah memberi aku kemenangan. Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan TUHAN; sungguh mengagumkan bagi kita! Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira. Kami memohon supaya Engkau menyelamatkan kami, ya TUHAN! Ya TUHAN, berilah kami kejayaan! Semoga Allah memberkati dia yang datang demi nama TUHAN! Dari Rumah TUHAN, kami memberkati kamu semua. TUHAN itu Allah; Dia baik kepada kita. Dengan melambai-lambaikan dahan pokok, mulakanlah perayaan dan berjalanlah mengelilingi mazbah. Engkaulah Allahku, aku bersyukur kepada-Mu; aku akan mengagungkan Engkau. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi.
MAZMUR 118:19-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Bukakanlah untukku pintu yang benar; aku akan masuk melaluinya dan akan memuji TUHAN. Inilah pintu TUHAN; orang yang benar akan masuk melaluinya. Aku akan memuji-Mu, kerana Engkau telah menjawabku; dan telah menjadi penyelamatanku. Batu yang telah dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru; Ini perbuatan TUHAN, sungguh menakjubkan di mata kita. Ini hari yang dijadikan oleh TUHAN; kita akan bergembira dan bersukacita kerananya. Selamatkanlah sekarang, aku berdoa, ya TUHAN; ya TUHAN, aku berdoa, hantarlah kemakmuran. Diberkatilah orang yang datang dalam nama TUHAN. Kami telah memberkatimu dari rumah TUHAN. Allah adalah TUHAN, dan Dia telah memberi kita cahaya. Ikatlah korban dengan tali ke tanduk mazbah. Engkau Allahku, dan aku akan memuji-Mu; Engkau Allahku, aku akan meninggikan-Mu. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.