MAZMUR 118:1-29

MAZMUR 118:1-29 Alkitab Berita Baik (BM)

Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi. Hendaklah umat Israel berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Hendaklah imam-imam Allah berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Hendaklah semua orang yang menyembah Dia berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.” Dalam kesukaran, aku berseru kepada TUHAN; Dia mengabulkan doaku dan membebaskan aku. Aku tidak takut kerana TUHAN menyertai aku; apakah yang dapat dilakukan manusia terhadap aku? TUHAN itulah yang menolong aku, aku akan melihat musuh-musuhku dikalahkan. Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan manusia. Lebih baik berlindung kepada TUHAN, daripada mengharapkan pemimpin. Banyak musuh mengelilingi aku, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Mereka mengepung aku dari segala arah, tetapi aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Mereka menyerbu aku seperti lebah, tetapi mereka terbakar secepat belukar; aku membinasakan mereka dengan kuasa TUHAN. Aku diserang dengan sengit dan hampir dikalahkan, tetapi TUHAN menolong aku. TUHAN menjadikan aku gagah dan perkasa; Dia telah menyelamatkan aku. Dengarlah sorakan kemenangan di dalam khemah umat Allah; “TUHAN melakukan perbuatan perkasa! Kuasa TUHAN memberi kita kemenangan, TUHAN melakukan perbuatan perkasa!” Aku tidak akan mati, tetapi aku akan hidup, untuk menceritakan perbuatan TUHAN. Dia telah menghukum aku dengan berat, tetapi Dia tidak membiarkan aku mati. Bukalah pintu gerbang Rumah TUHAN untukku, supaya aku masuk dan bersyukur kepada TUHAN! Inilah pintu gerbang TUHAN; hanya umat Allah boleh memasukinya. Aku memuji-Mu, TUHAN, kerana Engkau mendengar seruanku, kerana Engkau telah memberi aku kemenangan. Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan TUHAN; sungguh mengagumkan bagi kita! Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira. Kami memohon supaya Engkau menyelamatkan kami, ya TUHAN! Ya TUHAN, berilah kami kejayaan! Semoga Allah memberkati dia yang datang demi nama TUHAN! Dari Rumah TUHAN, kami memberkati kamu semua. TUHAN itu Allah; Dia baik kepada kita. Dengan melambai-lambaikan dahan pokok, mulakanlah perayaan dan berjalanlah mengelilingi mazbah. Engkaulah Allahku, aku bersyukur kepada-Mu; aku akan mengagungkan Engkau. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi.

MAZMUR 118:1-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Bersyukurlah kepada TUHAN kerana kebaikan-Nya; kasih-Nya kekal selama-lamanya. Biarlah Israel berkata: “Kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Biarlah keturunan Harun berkata: “Kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Biarlah mereka yang takut akan TUHAN berkata: “Kasih-Nya kekal selama-lamanya.” Aku berseru kepada TUHAN dalam kesusahan, TUHAN menjawabku dan meletakkan aku di tempat yang lapang. TUHAN memihak kepadaku; aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan manusia kepadaku? TUHAN menyokongku dalam kalangan mereka yang menolongku. Oleh itu, aku akan melihat kehendakku berlaku ke atas mereka yang membenciku. Lebih baik menyandarkan kepercayaan kepada TUHAN daripada meletakkan keyakinan kepada manusia. Lebih baik berlindung kepada TUHAN daripada percaya kepada raja-raja. Semua bangsa telah mengepungku, namun dengan nama TUHAN aku akan memusnahkan mereka. Mereka telah mengepungku, namun dengan nama TUHAN aku akan memusnahkan mereka. Mereka telah mengepungku seperti lebah, mereka dihapuskan seperti api daripada duri; kerana dengan nama TUHAN aku akan memusnahkan mereka. Aku ditolak dengan ganas supaya aku tersungkur, tetapi TUHAN menolongku. TUHAN adalah kekuatan dan nyanyianku; dan Dia telah menjadi penyelamatanku. Suara kegembiraan dan penyelamatan memenuhi perkhemahan orang yang benar: “Tangan kanan TUHAN gagah berani dan menang! Tangan kanan TUHAN ditinggikan; tangan kanan TUHAN gagah berani dan menang!” Aku tidak akan mati, aku hidup, dan mengisytiharkan hasil kerja TUHAN. TUHAN telah menghukumku dengan berat, tetapi Dia tidak membiarkan aku mati. Bukakanlah untukku pintu yang benar; aku akan masuk melaluinya dan akan memuji TUHAN. Inilah pintu TUHAN; orang yang benar akan masuk melaluinya. Aku akan memuji-Mu, kerana Engkau telah menjawabku; dan telah menjadi penyelamatanku. Batu yang telah dibuang oleh pembina telah menjadi batu penjuru; Ini perbuatan TUHAN, sungguh menakjubkan di mata kita. Ini hari yang dijadikan oleh TUHAN; kita akan bergembira dan bersukacita kerananya. Selamatkanlah sekarang, aku berdoa, ya TUHAN; ya TUHAN, aku berdoa, hantarlah kemakmuran. Diberkatilah orang yang datang dalam nama TUHAN. Kami telah memberkatimu dari rumah TUHAN. Allah adalah TUHAN, dan Dia telah memberi kita cahaya. Ikatlah korban dengan tali ke tanduk mazbah. Engkau Allahku, dan aku akan memuji-Mu; Engkau Allahku, aku akan meninggikan-Mu. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.