MAZMUR 108:1-13
MAZMUR 108:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Lagu. Mazmur Daud. Aku yakin kepada-Mu, ya Allah! Aku akan menyanyi dan memuji Engkau! Bangunlah, hai jiwaku! Bangunlah, hai gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan matahari! Ya TUHAN, aku akan bersyukur kepada-Mu antara bangsa-bangsa. Aku akan memuji Engkau antara umat manusia. Kasih-Mu lebih tinggi daripada langit, dan kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. Ya Allah, tunjukkanlah keagungan-Mu di langit, dan kemuliaan-Mu di seluruh bumi! Selamatkanlah kami dengan kuasa-Mu, dan kabulkanlah doaku, supaya umat yang Engkau kasihi diselamatkan. Dari tempat kediaman-Nya yang suci Allah berfirman, “Aku akan bersorak dan membahagi-bahagikan tanah Sikhem, dan mengagihkan Lembah Sukot kepada umat-Ku. Gilead dan Manasye adalah kepunyaan-Ku, Efraim topi besi-Ku, dan Yehuda tongkat pemerintahan-Ku. Tetapi Aku menggunakan Moab sebagai tempat pembasuhan-Ku; Aku melemparkan kasut kepada Edom, sebagai tanda bahawa Edom milik-Ku; Aku akan bersorak kerana kemenangan atas orang Filistin.” Siapakah yang akan membawa aku ke dalam kota yang berkubu itu? Siapakah yang akan memimpin aku ke Edom? Ya Allah, adakah Engkau telah menolak kami? Tidakkah Engkau mara bersama-sama tentera kami? Tolonglah kami melawan musuh, kerana pertolongan manusia tidak berguna.
MAZMUR 108:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya Allah, hatiku teguh; aku akan menyanyi dan menggubah pujian, ya, dengan seluruh jiwaku. Bangunlah, gambus dan kecapi! Aku akan membangunkan fajar. Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, dalam kalangan bangsa-bangsa; dan aku akan menyanyi untuk-Mu dalam kalangan umat manusia. Kerana kasih-Mu besar menjangkau langit; dan kesetiaan-Mu mencapai awan. Maha Tinggi Engkau, ya TUHAN, memerintah langit, dan kemuliaan-Mu di atas seluruh bumi. Supaya orang yang Kaukasihi dapat diselamatkan, lepaskanlah dengan tangan kanan-Mu dan dengarlah rayuanku. Allah telah berfirman dalam kesucian-Nya: “Aku akan bergembira; Aku akan membahagikan tanah Sikhem dan mengukur serta mengagihkan Lembah Sukot. Gilead milik-Ku, Manasye milik-Ku; Efraim juga topi besi-Ku, Yehuda tongkat kerajaan-Ku. Moab tempat pembasuhan-Ku, ke atas Edom akan Kulemparkan kasut-Ku; ke atas Filistea Aku akan bersorak menang.” Siapa akan membawaku ke dalam kota perkasa itu? Siapa akan memimpinku ke Edom? Bukankah Engkau, ya Allah, yang menyingkiri kami dan Engkau, ya Allah, yang tidak menyertai tentera kami? Berilah kami pertolongan daripada kesusahan, kerana pertolongan manusia tidak berguna. Melalui Allah, kita akan berjuang dengan berani, kerana Dialah yang akan menumpaskan musuh kita.