MAZMUR 104:24-35
MAZMUR 104:24-35 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu. Lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main. Semuanya bergantung kepada-Mu, untuk mendapat makanan pada waktunya. Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya; Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang. Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut; apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa, dan kembali ke tanah, menjadi debu semula. Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup; Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya! Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya! Dia memandang bumi, bumi pun bergentar; Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku; aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku. Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya, kerana Dialah yang membuat hatiku gembira. Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi, biarlah orang jahat habis binasa.
MAZMUR 104:24-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu. Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya — makhluk hidup yang kecil dan besar. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana. Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan. Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik. Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu. Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya; semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya — Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup. Semoga renunganku baik di sisi-Nya, aku akan bersukacita kerana TUHAN. Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi dan orang zalim tiada lagi. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Pujilah TUHAN!