MAZMUR 104:1-35

MAZMUR 104:1-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Ya TUHAN, Allahku, betapa agungnya Engkau! Engkau diliputi keagungan dan kemuliaan, dan diselubungi cahaya. Engkau membentangkan langit seperti khemah, dan membina rumah-Mu di tempat yang lebih tinggi daripada langit. Engkau menunggang awan dan mengenderai angin. Engkau menggunakan angin sebagai pesuruh-Mu, dan pancaran kilat sebagai hamba-Mu. Engkau mendirikan bumi kukuh pada asasnya, supaya tidak sekali-kali bergoyang. Engkau menyelubungi bumi dengan lautan, dan air menutupi pergunungan; tetapi air pun turun apabila Engkau menegurnya; air mengalir dengan deras apabila mendengar gemuruh suara-Mu. Air mengalir melalui gunung ke lembah, ke tempat yang telah Engkau sediakan. Engkau menentukan sempadan yang tidak boleh dilalui, supaya air tidak membanjiri bumi lagi. Engkau menjadikan mata air memancar di lembah-lembah, dan air sungai mengalir di sela-sela bukit, untuk memberi binatang liar minuman, dan untuk melepaskan dahaga keldai hutan. Di pokok-pokok yang berhampiran, burung berkicau dan membuat sarang. Dari langit Engkau menurunkan hujan ke atas pergunungan, bumi penuh dengan berkat-Mu. Engkau menumbuhkan rumput untuk lembu, dan tanaman untuk kegunaan orang, supaya manusia dapat bercucuk tanam, dan menghasilkan wain untuk menghiburkan hati, minyak zaitun untuk menyerikan muka, dan makanan untuk memberikan tenaga. Pokok sedar di Lebanon mendapat banyak hujan, pokok-pokok yang ditanam oleh TUHAN. Di sana burung-burung bersarang, burung bangau bersarang di puncaknya. Kambing hutan tinggal di gunung yang tinggi, dan landak bersembunyi di tebing. Engkau menciptakan bulan untuk menanda musim; matahari pun tahu waktunya untuk terbenam. Engkau menjadikan malam, dan dalam kegelapan semua binatang hutan berkeliaran. Anak singa mengaum ketika berburu, mencari makanan yang diberikan Allah. Apabila matahari terbit, binatang pulang dan berbaring di tempat persembunyian. Kemudian manusia keluar bekerja, dan terus bekerja sehingga petang. Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu. Lihatlah laut luas terbentang, dengan makhluk besar kecil, tidak terbilang. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan, raksasa laut ciptaan-Mu, bermain-main. Semuanya bergantung kepada-Mu, untuk mendapat makanan pada waktunya. Engkau memberikan makanan, dan makhluk ciptaan-Mu mengumpulkannya; Engkau memberikan semuanya makanan sehingga kenyang. Apabila Engkau berpaling, makhluk ciptaan-Mu takut; apabila Engkau mengambil balik nafas-Mu, semuanya binasa, dan kembali ke tanah, menjadi debu semula. Tetapi apabila Engkau memberikan nafas, semuanya hidup; Engkau memberikan kehidupan baru kepada bumi. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya! Semoga TUHAN bergembira dengan semua ciptaan-Nya! Dia memandang bumi, bumi pun bergentar; Dia menyentuh gunung, gunung pun berasap. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang umurku; aku akan menyanyikan pujian bagi Allahku seumur hidupku. Semoga nyanyianku menyenangkan hati-Nya, kerana Dialah yang membuat hatiku gembira. Biarlah orang berdosa dihapuskan dari muka bumi, biarlah orang jahat habis binasa.

MAZMUR 104:1-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Ya Allahku, Engkau Maha Besar; Engkau penuh kehormatan dan keagungan. Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian; Engkau merentangkan angkasa seperti tirai. Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan. Dia menjadikan awan pedati-Nya; Dia berjalan di atas sayap angin. Dia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh, para hamba-Nya nyala api. Engkau yang meletakkan asas bumi; supaya tidak berganjak selama-lamanya. Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian; perairan itu berdiri di atas gunung. Apabila Kaumurkai, ia lari, mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi; perairan itu telah naik ke atas pergunungan, ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya. Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya; supaya ia tidak kembali meliputi bumi. Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau. Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya. Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok. Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya. Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia — untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi: air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia. Pokok-pokok TUHAN segar dan subur, pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya. Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar. Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung. Dia menentukan bulan untuk menandakan musim, matahari tahu bila waktu untuknya terbenam. Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam, masa untuk binatang-binatang hutan merayau. Singa-singa muda mengaum mencari mangsa dan memohon makannya daripada Allah. Apabila matahari terbit; mereka berhimpun lalu baring di gua mereka. Manusia keluar ke tempat kerjanya, dan memerah tenaga hingga lewat petang. Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu! Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu. Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya — makhluk hidup yang kecil dan besar. Di situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana. Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan. Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik. Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu. Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi. Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya; semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya — Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap. Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup. Semoga renunganku baik di sisi-Nya, aku akan bersukacita kerana TUHAN. Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi dan orang zalim tiada lagi. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku. Pujilah TUHAN!