MAZMUR 103:1-13
MAZMUR 103:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Pujilah TUHAN, hai jiwaku! Pujilah nama-Nya yang suci, hai segenap batinku! Pujilah TUHAN, hai jiwaku, dan jangan lupa akan kebaikan-Nya. Dia mengampunkan segala dosaku, dan menyembuhkan segala penyakitku; Dia menyelamatkan aku daripada kematian dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat; Dia memuaskan hidupku dengan segala yang baik, sehingga aku tetap muda dan kuat seperti burung helang. TUHAN membela orang yang tertindas dan bertindak dengan adil. Dia menyatakan rancangan-Nya kepada Musa, dan perbuatan-Nya kepada bangsa Israel. TUHAN pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih. Dia tidak selalu murka, Dia tidak selalu menaruh dendam. Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita, Dia tidak membalas kita setimpal dengan kesalahan kita. Tetapi setinggi langit dari bumi, setinggi itu juga kasih-Nya kepada orang yang menghormati-Nya. Sejauh timur dari barat, sejauh itu juga dibuang-Nya dosa kita. Seperti seorang bapa mengasihani anak-anaknya, begitulah TUHAN mengasihani orang yang menghormati-Nya.
MAZMUR 103:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pujilah TUHAN, wahai jiwaku; dan segala yang dalamku, pujilah nama-Nya yang suci. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku, dan jangan lupakan segala rahmat-Nya — Dia mengampunkan segala dosamu, Dia menyembuhkan segala penyakitmu, Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan, Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih, Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali. TUHAN menjalankan perbenaran dan keadilan bagi semua yang tertindas. Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa, perbuatan-Nya kepada kaum Israel: TUHAN penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya. Dia tidak sentiasa memarahi kita, dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya; Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita. Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi, demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang takut kepada-Nya; sebagaimana jauhnya timur dari barat, begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita. Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak, demikianlah TUHAN mengasihani orang yang takut kepada-Nya