MAZMUR 101:1-8
MAZMUR 101:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Mazmur Daud. Aku menyanyi tentang kesetiaan dan keadilan, aku menyanyikan lagu ini untuk-Mu, ya TUHAN. Aku akan menjaga kelakuanku supaya tidak bercela. Bilakah Engkau akan datang kepadaku? Aku akan hidup suci di rumahku; aku tidak akan membiarkan kejahatan berlaku. Aku benci akan tindakan orang yang murtad; aku tidak mahu berhubungan dengan mereka. Aku tidak akan berlaku curang; aku tidak akan terlibat dalam kejahatan. Orang yang memfitnah dengan diam-diam akan aku binasakan; orang yang sombong dan angkuh tidak akan kubiarkan begitu. Aku berkenan akan orang yang setia kepada Allah; mereka akan kubenarkan tinggal di dalam istanaku; orang yang benar-benar jujur akan aku benarkan melayani aku. Pendusta tidak akan tinggal di dalam istanaku; orang munafik tidak akan berada di hadapanku. Tiap-tiap hari aku akan membinasakan orang jahat di negeri kita; aku akan mengusir semua orang jahat dari kota TUHAN.
MAZMUR 101:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku akan menyanyi tentang kasih dan keadilan; kepada-Mu, ya TUHAN, aku akan menyanyikan pujian. Aku akan mengamalkan hidup yang tidak bercela — bilakah Engkau akan datang kepadaku? Aku akan berjalan di dalam rumahku sendiri dengan hati yang tidak bercela. Aku tidak akan membiarkan mataku memandang kekejian. Aku membenci perbuatan orang yang menyeleweng; aku tidak akan turut berbuat demikian. Hati yang ingkar akan tersingkir daripadaku; aku tidak akan mengenal kejahatan. Sesiapa yang memfitnah sesama manusia dalam senyap, akan kemusnahan; orang yang berlagak angkuh dan berhati sombong, tidak akan kubiarkan. Mataku akan tertumpu kepada orang beriman di tanah ini, supaya mereka tinggal bersamaku; orang yang hidup tidak bercela akan melayaniku. Sesiapa yang melakukan penipuan tidak akan tinggal di dalam rumahku; sesiapa yang berdusta tidak akan ada lagi di hadapanku. Setiap pagi aku akan memusnahkan semua orang zalim di tanah ini; untuk menghapuskan semua yang melakukan kejahatan dari kota TUHAN.