MAZMUR 10:1-18
MAZMUR 10:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Mengapakah Engkau begitu jauh, ya TUHAN, dan bersembunyi pada masa kami dalam kesusahan? Dengan sombong orang jahat menindas orang miskin; biarlah mereka dijerat oleh perangkap mereka sendiri. Orang jahat membangga-banggakan niat jahat mereka; orang tamak mengutuki dan menolak TUHAN. Orang jahat tidak mempedulikan TUHAN; kerana mereka sombong, mereka berfikir Allah tidak ada. Orang jahat berjaya dalam segala perbuatan mereka. Mereka tidak dapat memahami pengadilan Allah; mereka mentertawakan musuh-musuh mereka. Mereka berkata dalam hati, “Kami tidak akan gagal; kami tidak akan ditimpa kesusahan.” Percakapan mereka penuh dengan sumpahan, dusta, dan ancaman; mereka cepat menista dan menjahati orang. Mereka bersembunyi di kampung-kampung, dan menunggu untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Mereka mengintip mangsa yang tidak berdaya; mereka menunggu di tempat persembunyian seperti singa. Mereka menantikan orang yang tidak berupaya, lalu menangkap dan menyeret mereka dari situ. Mangsa yang tidak berdaya remuk tergelimpang, ditewaskan oleh keganasan. Orang jahat berfikir, “Allah tidak peduli! Allah telah memejamkan mata-Nya dan tidak melihat kami!” Ya TUHAN, hukumlah orang yang jahat! Jangan lupakan orang yang sengsara! Mengapakah orang jahat menghina Allah, dan berfikir mereka tidak akan dihukum Allah? Tetapi Engkau nampak; Engkau perhatikan kesusahan dan penderitaan orang, dan sentiasa sedia untuk menolong mereka. Orang yang tidak berdaya menyerahkan dirinya kepada-Mu, kerana Engkau selalu menolong orang yang susah. Patahkanlah kekuasaan orang yang jahat dan durjana; hukumlah mereka kerana kekejaman mereka sehingga mereka berhenti melakukannya. TUHAN raja selama-lamanya, dan orang yang tidak mengenal Dia akan lenyap dari negeri-Nya. TUHAN, kabulkanlah doa orang hina; berikanlah semangat kepada mereka. Engkau mendengar tangisan anak yatim dan orang yang ditindas; Engkau membela mereka supaya orang tidak lagi menakutkan mereka.
MAZMUR 10:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mengapakah Engkau menjauhkan diri, ya TUHAN, dan bersembunyi pada masa kesusahan? Orang zalim dalam keangkuhannya menindas orang miskin, biarlah mereka terperangkap dalam jerat sendiri. Orang zalim berbangga dengan keinginan hatinya; memberkati orang tamak dan mencerca TUHAN. Orang zalim berwajah pongah tidak mendekati Allah; dalam seluruh fikirannya, “Tidak ada Allah.” Usahanya sentiasa berjaya; dia angkuh dan penghakiman-Mu jauh daripada matanya; dan dia mencemuh semua musuhnya. Dia berkata dalam hatinya, “Aku tidak akan digugat; aku tidak akan ditimpa penderitaan.” Mulutnya penuh sumpah seranah, dusta dan aniaya; di bawah lidahnya bersemadi kesusahan dan kejahatan. Dia menghendap di ceruk-ceruk rahsia di kampung; dan membunuh orang yang tidak bersalah, matanya mengintip mangsa yang tidak berdaya. Dia menanti mangsa dalam senyap seperti singa; dia menunggu untuk menangkap orang tidak berdaya; lalu meragut mereka ke dalam jaringnya. Dia menjongkok dan meniarap; lalu orang yang tidak berdaya tewas oleh kekuatannya. Dia berkata dalam hatinya, “Allah sudah lupa dan menyembunyikan wajah-Nya; Allah tidak akan melihat.” Bangkitlah, ya TUHAN! Ya Allah, angkatlah tangan-Mu. Jangan lupakan orang yang daif. Mengapakah orang zalim mencerca Allah? Mengapakah dia berkata dalam hatinya, “Allah tidak akan menyoal dan menghukum”? Tetapi Engkau, ya Allah, memang memerhati kesusahan dan kesedihan; untuk menghukum dengan tangan-Mu. Orang tidak berdaya berserah kepada-Mu; Engkaulah Penolong anak yatim. Patahkanlah kekuasaan orang zalim; hukumlah dia sehingga hapus kejahatannya. TUHAN ialah Raja selama-lamanya; bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Nya akan lenyap dari tanah-Nya. Ya TUHAN, Engkau telah mendengar hasrat orang daif; Engkau akan menetapkan hati mereka, Engkau akan mendengar keluhan mereka, untuk berlaku adil kepada anak yatim dan orang yang ditindas, supaya tiada sesiapa di bumi akan menimbulkan ketakutan lagi.