AMSAL 4:1-19
AMSAL 4:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Hai anak-anak, dengarlah ajaran bapa kamu. Dengarlah baik-baik, supaya kamu menjadi arif. Hal yang aku ajarkan kepada kamu baik, oleh itu ingatlah ajaranku. Ketika aku masih kanak-kanak, sebagai anak lelaki tunggal, bapaku sentiasa mengajar aku. Katanya, “Ingatlah ajaranku dan jangan lupakannya. Lakukanlah perintahku supaya kamu hidup bahagia. Hendaklah kamu bijak dan cerdas. Jangan lupakan ataupun abaikan nasihatku. Jangan tinggalkan hikmat, maka hikmat akan melindungi kamu; cintailah hikmat, maka hikmat akan menjaga kamu agar kamu selamat. Perkara yang paling mustahak yang harus kamu usahakan adalah mendapat hikmat. Apa pun yang kamu kejar, yang terutama adalah mendapat pengertian. Cintailah hikmat, maka kamu akan ditinggikannya. Peluklah hikmat, maka kamu akan dimuliakannya. Hikmat akan menjadi mahkota kemegahanmu.” Hai anakku, dengarlah kataku. Perhatikanlah baik-baik nasihatku supaya panjang umurmu. Aku sudah mengajar kamu hikmat dan cara hidup yang benar. Jika kamu hidup demikian, kamu tidak akan terhalang ketika berjalan, dan kamu tidak akan tersandung ketika berlari. Hendaklah kamu sentiasa ingat akan ajaran yang telah kamu terima daripadaku. Jagalah ajaran itu baik-baik, kerana dengan ajaran itu hidupmu akan berhasil. Jangan ke tempat orang jahat pergi dan jangan contohi mereka. Jangan taruh perhatian kepada mereka. Jauhilah mereka dan jalanlah terus. Orang jahat tidak dapat tidur sebelum melakukan kejahatan. Mereka tidak mengantuk sebelum mencelakakan orang lain. Kejahatan dan keganasan seolah-olah makanan dan minuman mereka. Kehidupan orang baik bagaikan terbitnya matahari, kian lama kian cerah sehingga hari pun terang. Tetapi kehidupan orang jahat gelap seperti malam. Mereka tersandung dan jatuh, namun tidak dapat melihat apa yang menyebabkannya.
AMSAL 4:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Hai anak-anakku, dengarlah didikan seorang ayah dan perhatikanlah, supaya engkau memperoleh pengertian. Jangan abaikan peraturanku kerana aku memberimu ajaran yang baik. Ketika aku masih kanak-kanak dan tinggal bersama ayahku, masih kecil, dan anak tunggal bagi ibuku, ayahku mengajarku, katanya, “Pegang teguh kata-kataku dalam hatimu. Patuhilah perintah-perintahku, maka engkau akan hidup. Perolehlah hikmah! Perolehlah pengertian! Jangan lupakan, dan jangan menyimpang daripada kata-kata mulutku. Jangan abaikan hikmah, maka hikmah akan memelihara kamu; kasihilah ia, maka ia akan menjaga kamu. Hikmah adalah yang paling utama. Perolehlah hikmah dan dengan segala pemerolehanmu itu, perolehlah pengertian. Junjung tinggi hikmah, maka hikmah akan meninggikanmu. Ia akan menjadikan kamu terhormat jika engkau mendakapnya. Ia akan meliliti kepalamu dengan karangan bunga yang indah, dan akan mengurniakan kepadamu mahkota kemuliaan.” Hai anakku, dengarlah dan terimalah kata-kataku, supaya banyak pula tahun hidupmu. Aku telah menunjukkan kepadamu jalan hikmah, dan aku telah membimbingmu di jalan-jalan yang lurus. Apabila engkau berjalan, langkahmu tidak akan terhalang, dan jika engkau berlari, engkau tidak akan tersandung. Peganglah didikan, jangan lepaskan; peliharalah ia, kerana ia hidupmu. Jangan masuki lorong orang durjana, dan jangan ikuti jalan orang yang jahat. Jauhilah jalan itu, jangan lalui. Menyimpanglah dari jalan itu, dan teruskanlah perjalananmu. Kerana mereka itu tidak dapat tidur selagi mereka belum melakukan kejahatan, dan mereka tidak mungkin lena jika belum membuat seseorang tersandung. Mereka makan roti kedurjanaan dan minum air anggur keganasan. Sebaliknya jalan orang benar seperti cahaya fajar, yang semakin benderang hingga puncak siang hari. Jalan orang durjana pula seperti kegelapan yang pekat; lantas mereka tidak tahu apa yang membuat mereka tersandung.