AMSAL 31:13-22
AMSAL 31:13-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Dia rajin mengumpulkan bulu domba dan rami, lalu sibuk menenunnya. Dia mendatangkan makanan dari tempat jauh seperti yang dilakukan oleh kapal dagang. Dia bangun pagi-pagi buta untuk menyediakan makanan bagi keluarganya, dan untuk memberikan arahan kepada semua hamba perempuannya. Dia mencari sebidang tanah, lalu membelinya dan mengusahakan ladang anggur dengan pendapatannya. Dia menyiapkan diri untuk bekerja sekuat tenaga. Dia tahu bahawa segala sesuatu yang diusahakannya menguntungkan, dan dia bekerja sehingga jauh malam. Dia memintal benang dan menenun kainnya sendiri. Dia murah hati kepada orang yang miskin dan susah. Pada musim sejuk dia tidak khuatir, kerana keluarganya mempunyai baju panas. Dia membuat permaidani dan memakai pakaian daripada kain linen ungu yang halus.
AMSAL 31:13-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Dia mencari bulu domba dan rami, lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya. Dia seperti kapal saudagar, dibawanya makanannya dari jauh. Dia bangun ketika hari masih gelap, disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya, dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya. Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang, dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur. Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan, dan menguatkan lengannya. Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan; pada malam hari pelitanya tidak padam. Tangannya diletakkannya pada pemintal, dan jari-jarinya memegang gelendong benang. Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat. Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba, kerana seisi rumahnya berpakaian tebal. Dia membuat bagi dirinya permaidani, dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu.