AMSAL 27:13-27

AMSAL 27:13-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya, dan tahanlah dia jika dia menjadi penjamin bagi perempuan penzina. Kata-kata berkat yang diucapkan bagi kawan dengan suara keras pada awal-awal pagi, akan dianggap sebagai kutukan. Seperti titisan air pada waktu hujan, demikianlah isteri yang suka bertengkar; sesiapa menahannya, menahan angin atau menggenggam minyak dengan tangan kanannya. Besi menajamkan besi, demikian juga orang menajamkan sesamanya. Sesiapa memelihara pokok ara, akan memakan buahnya, dan orang yang melindungi tuannya akan dihormati. Seperti air mencerminkan wajah, demikianlah hati manusia mencerminkan diri manusia itu. Alam kubur dan tempat kebinasaan tidak pernah puas, demikian jugalah mata manusia tidak pernah puas. Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi manusia diuji menurut pujian yang diterimanya. Sekalipun orang bodoh kautumbuk dalam lesung dengan alu bersama-sama gandum, tidak akan hilang kebodohannya daripadanya. Ketahuilah dengan baik keadaan haiwanmu dan perhatikanlah kawanan ternakmu, kerana harta benda tidaklah kekal, begitu juga mahkota tidak tetap turun-temurun. Ketika rumput lama menghilang, rumput muda terlihat, dan tumbuh-tumbuhan gunung dikumpulkan, maka domba-domba akan menyediakan pakaian bagimu dan kambing-kambing jantan akan menyediakan wang pembeli ladang. Akan cukup susu kambing untuk rezekimu, rezeki keluargamu, dan penghidupan para pelayan perempuanmu.