AMSAL 22:17-29
AMSAL 22:17-29 Alkitab Berita Baik (BM)
Dengarlah, aku akan mengajar kamu pepatah orang bijak. Kajilah ajaran mereka. Berbahagialah orang yang dapat menghafaz ajaran itu dan mengutipnya apabila diperlukan. Aku hendak kamu percaya kepada TUHAN, itulah sebabnya aku mengajarkannya kepada kamu sekarang. Aku telah menuliskan tiga puluh pepatah yang mengandungi pengetahuan dan nasihat baik, yang akan mengajar kamu apa yang sungguh-sungguh benar. Nanti, jika kamu ditanya, kamu dapat memberikan jawapan yang tepat. Jangan perdaya orang miskin kerana mereka miskin, dan jangan tipu mereka di mahkamah. TUHAN akan membela mereka, dan mencabut nyawa orang yang menindas mereka. Jangan bersahabat dengan orang yang suka marah dan cepat naik darah. Jangan-jangan kamu ikut kelakuan mereka, lalu tidak dapat mengubah kebiasaan itu. Jangan berjanji untuk menanggung hutang orang lain. Jika kamu tidak dapat menjelaskan hutangnya, katil kamu pun akan dirampas. Jangan pindahkan batas tanah yang ditetapkan oleh nenek moyang kamu. Orang yang cekap bekerja akan bertugas untuk raja-raja dan bukan untuk orang biasa.
AMSAL 22:17-29 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pasanglah telingamu dan dengarlah kata-kata orang bijaksana; perhatikan pengetahuanku! Kerana akan menyenangkan jika itu engkau memegang teguh dalam hatimu, dan jika semua itu tersedia pada bibirmu. Supaya kepercayaanmu sepenuhnya kepada TUHAN, maka aku memberitahukan kepadamu pada hari ini, ya kepadamu. Bukankah aku telah menuliskan kepadamu tiga puluh pepatah, iaitu nasihat serta pengetahuan, untuk mengajar kamu kata-kata yang benar dan dapat dipegang, sehingga engkau dapat memberikan jawapan yang tepat kepada orang yang menyuruhmu? Jangan rompak orang miskin kerana dia tidak berdaya, dan jangan hancurkan orang yang tertindas di sidang pengadilan, kerana TUHAN akan membela perkara mereka, lalu merampas orang yang merampasi mereka. Jangan bersahabat dengan pemarah, atau bergaul dengan orang yang panas baran, supaya jangan engkau meniru tingkah lakunya lalu jiwamu terjerat. Jangan menjadi orang yang menaja jamin, yang menjadi penjamin bagi hutang orang lain. Jika engkau tidak mempunyai apa-apa pun untuk membayarnya, mengapa tempat tidurmu harus diambil daripadamu? Jangan pindahkan batas tanah lama yang ditetapkan oleh para leluhurmu. Adakah engkau memperhatikan orang yang mahir dalam pekerjaannya? Dia akan menghadap raja-raja, bukan berdiri di hadapan orang bawahan.