AMSAL 22:1-16
AMSAL 22:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Nama baik lebih baik daripada harta yang banyak; dikasihi orang lebih baik daripada diberikan perak dan emas. Orang kaya dan orang miskin mempunyai satu persamaan: TUHAN mencipta kedua-duanya. Orang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN, serta merendahkan diri akan mendapat kekayaan, kehormatan, dan usia panjang. Orang yang menyayangi nyawanya harus menjauhkan diri daripada perangkap dan jerat pada jalan yang ditempuh oleh orang jahat. Ajarilah anak cara hidup yang betul, maka sampai tua pun dia akan hidup demikian. Orang miskin dikuasai orang kaya. Orang yang minta pinjam dikuasai orang yang memberi pinjam. Orang yang menabur ketidakadilan akan menuai bencana, dan kuasanya untuk menindas orang lain akan berakhir. Orang yang murah hati dan membahagikan makanan kepada orang miskin akan diberkati TUHAN. Usirlah orang yang suka menghina, barulah tiada pertengkaran, perbantahan, dan caci maki. Orang yang tulus hatinya dan halus pertuturannya akan menjadi sahabat raja. TUHAN memastikan bahawa kebenaran terpelihara dengan membongkar kebohongan pendusta. Orang malas tidak suka keluar dari rumah. Dia berkata bahawa dia akan diterkam singa jika dia keluar. Rayuan perempuan jalang merupakan lubang yang dalam: orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya. Kanak-kanak biasa membuat perkara yang bukan-bukan, tetapi rotan dapat mengajar mereka mengubah kelakuan. Sesiapa yang menindas orang miskin untuk menjadi kaya atau memberikan hadiah kepada orang kaya, pada akhirnya akan melarat.
AMSAL 22:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Nama baik patut lebih didambakan daripada banyak harta, dihargai orang lebih baik daripada perak dan emas. Orang kaya dan orang miskin mempunyai kesamaan: TUHAN yang menjadikan mereka semua. Orang yang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi, tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya. Ganjaran atas sifat rendah hati dan takut kepada TUHAN ialah kekayaan, kehormatan, dan kehidupan. Duri dan jerat ada di jalan orang yang menyeleweng, tetapi sesiapa yang memelihara nyawanya, menjauhi semua itu. Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu. Orang kaya menguasai orang miskin, dan si penghutang menjadi hamba kepada si pemiutang. Sesiapa yang menyemai kezaliman akan menuai kesia-siaan, dan rotan amarahnya akan binasa. Orang yang murah hati akan diberkati, kerana dia berkongsi makanannya dengan orang miskin. Usirlah si pencemuh, maka pertengkaran turut pergi, dan berakhirlah pertikaian serta kutukan. Sesiapa yang menyukai kesucian hati dan santun bicaranya akan menjadi sahabat raja. Mata TUHAN memelihara pengetahuan, tetapi Dia memusnahkan kata-kata si pengkhianat. Kata si pemalas, “Ada singa di luar! Aku akan dibunuhnya di tengah-tengah jalan.” Mulut si perempuan penzina sebuah jebak yang dalam; orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya. Kebodohan melekat dalam hati anak-anak, tetapi rotan didikan akan mengenyahkannya daripada mereka. Sesiapa menindas orang miskin untuk memperkaya diri atau memberikan hadiah kepada orang kaya, hanya akan menderita kemiskinan.