AMSAL 2:12-22
AMSAL 2:12-22 Alkitab Berita Baik (BM)
serta mencegah kamu daripada melakukan perbuatan yang salah, dan juga menjauhkan dirimu daripada orang yang bercakap bohong. Orang seperti itu telah meninggalkan cara hidup yang baik, dan mengambil jalan gelap yang penuh dengan dosa. Mereka mendapat keseronokan daripada perbuatan yang salah dan jahat. Mereka tidak dapat diharap dan tidak dapat dipercayai. Kamu akan dapat menolak godaan perempuan jalang yang berusaha untuk memikat kamu dengan kata-kata manis. Perempuan itu tidak setia kepada suaminya, dan telah melupakan janjinya kepada Allah. Jika kamu pergi ke rumahnya, kamu menuju ke arah maut. Pergi ke sana sama seperti pergi ke dunia orang mati. Orang yang melawat perempuan itu tidak pernah kembali ke jalan yang menuju kehidupan. Oleh itu, haruslah kamu ikut teladan orang baik, dan hendaklah kamu hidup menurut kehendak Allah. Orang yang hidup menurut kehendak Allah, iaitu orang yang tulus hati akan hidup di negeri yang dijanjikan Allah. Tetapi orang jahat dan berdosa akan dilempar keluar dari negeri itu oleh Allah, seperti rumput dicabut dari tanah.
AMSAL 2:12-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
untuk melepaskan kamu daripada cengkaman kejahatan dan daripada orang yang mengucapkan tipu muslihat, yang meninggalkan jalan-jalan lurus untuk meredah lorong-lorong gelap, yang suka berbuat kejahatan, yang gembira kerana tipu muslihat yang jahat, yang sesat jalan-jalannya serta bengkang-bengkok perilakunya. Engkau pun akan terlepas daripada perempuan lucah, daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya, yang meninggalkan teman hidup masa mudanya serta melupakan perjanjian dengan Allahnya. Sesungguhnya, di liang mautlah rumahnya tergenang, dan jalannya menuju dunia orang mati. Semua orang yang datang kepadanya tidak akan kembali, dan tidak menemukan jalan hidup. Dengan demikian engkau dapat menempuh jalan orang baik-baik, dan tetap berada di jalan orang benar, kerana orang yang tulus hati akan mendiami bumi, dan orang yang ikhlas akan tetap tinggal di situ; tetapi orang durjana akan dilenyapkan daripada bumi, dan para pengkhianat akan direnggut dari situ.