AMSAL 16:1-33
AMSAL 16:1-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang memberikan keputusan. Setiap perbuatan orang mungkin baik pada pandangannya sendiri, tetapi TUHAN yang menilai maksud hatinya. Serahkanlah segala usahamu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan berjaya. Segala yang dibuat TUHAN ada tujuannya, dan tujuan bagi orang jahat adalah kebinasaan. TUHAN membenci orang sombong; Dia tidak membiarkan mereka terlepas daripada hukuman. Orang yang taat setia kepada Allah akan mendapat pengampunan. Orang yang hormat dan takut kepada TUHAN akan terhindar daripada kejahatan. Apabila kamu menyenangkan hati TUHAN, musuh-musuh dapat kamu jadikan kawan. Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram. Manusia membuat rancangan, tetapi Allah yang menentukan jalan hidup manusia. Raja bertitah dengan kuasa Allah; keputusan raja sentiasa betul. TUHAN menghendaki timbangan dan ukuran yang tepat; jangan berlaku curang ketika berniaga. Raja tidak boleh membiarkan kejahatan, kerana keadilan mengukuhkan kerajaan. Raja suka mendengar apa yang benar; raja berkenan kepada orang yang bercakap jujur. Jika raja murka, mungkin ada orang yang akan dibunuh; orang yang bijak berusaha untuk meredakan kemurkaan raja. Anugerah raja bagaikan awan yang menurunkan hujan pada musim bunga; anugerahnya memberikan hidup sejahtera. Jauh lebih baik mendapat hikmat dan pengetahuan daripada mendapat emas dan perak. Orang baik menjauhi jalan kejahatan; orang yang menjaga cara hidupnya, melindungi dirinya. Kesombongan mengakibatkan kemusnahan, dan keangkuhan mengakibatkan keruntuhan. Lebih baik rendah hati dan miskin, daripada mengikut orang sombong dan menerima bahagian barang rampasan mereka. Orang yang memperhatikan ajaran akan berjaya; orang yang percaya kepada TUHAN akan berbahagia. Orang yang bijak terpuji kerana pengertiannya. Semakin halus perkataannya, semakin dapat menyakinkan orang. Bagi orang yang bijak, hikmat bagaikan sumber hidup bahagia. Tetapi orang yang bodoh diseksa oleh kebodohannya sendiri. Orang yang bijak berfikir dahulu sebelum bercakap; oleh itu kata-katanya meyakinkan. Kata-kata yang lembut bagaikan madu - manis rasanya serta menyihatkan badan. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut. Keinginan untuk makan mendorong seseorang berusaha lebih giat, kerana dia ingin memuaskan seleranya. Orang jahat sentiasa berusaha untuk mencelakakan orang lain; kata-kata mereka jahat seperti api yang membakar. Orang jahat mengumpat; mereka menimbulkan pertengkaran dan menceraikan sahabat akrab. Orang ganas menipu kawan mereka dan membawa mereka ke dalam bahaya. Berhati-hatilah terhadap mereka yang tersenyum dan mengenyitkan mata kepada kamu; mereka mempunyai niat jahat. Orang yang jujur akan dianugerahkan umur panjang; ubannya bagaikan mahkota yang mulia. Lebih baik orang bersabar daripada berkuasa. Lebih baik orang tahu menahan diri daripada menguasai seluruh kota. Manusia membuang undi untuk mengetahui kehendak Allah, tetapi Allah sendiri yang menentukan jawapannya.
AMSAL 16:1-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Manusia dapat menyusun rancangan dalam hati, tetapi jawapan lidah berasal daripada TUHAN. Segala jalan seseorang bersih menurut pandangannya sendiri, tetapi TUHAN sajalah yang menimbang niat hatinya. Serahkanlah perbuatanmu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan terlaksana. TUHAN menjadikan segala sesuatu, masing-masing untuk tujuan-Nya, bahkan orang durjana untuk hari malapetaka. Semua yang bongkak hati adalah kekejian bagi TUHAN; yakinlah, mereka tidak akan terlepas daripada hukuman. Dengan kasih dan kesetiaan, dosa dihapuskan, dan kerana takut kepada TUHAN, orang menjauhi kejahatan. Jika TUHAN berkenan kepada jalan seseorang, Dia membuat musuh orang itu pun berdamai dengannya. Lebih baik penghasilan sedikit dengan perbenaran, daripada penghasilan banyak tanpa keadilan. Hati manusia merancang jalannya, tetapi TUHAN sajalah yang menentukan langkahnya. Pernyataan ilahi ada pada bibir raja, dalam perkara hukum mulutnya tidak akan berbuat mungkar. Timbangan dan neraca yang benar memang milik TUHAN, dan semua batu timbangan dalam pundi-pundi adalah ciptaan-Nya. Perbuatan yang jahat adalah kekejian bagi raja, kerana takhta kerajaan ditegakkan oleh perbenaran. Bibir yang berkata benar adalah kesukaan raja, dia mengasihi orang yang jujur perkataannya. Murka raja bagaikan malaikat maut, tetapi orang yang bijaksana akan meredakannya. Di wajah raja yang bersinar ada kehidupan, dan kebaikannya seperti awan yang membawa hujan akhir musim. Alangkah lebih baik memperoleh kebijaksanaan daripada emas, memperoleh pengertian patut lebih dipilih daripada perak! Jalan orang yang tulus menjauhi kejahatan, dan sesiapa menjaga jalannya, memelihara nyawanya. Keangkuhan mendahului kehancuran, dan hati yang sombong mendahului kejatuhan. Lebih baik merendahkan diri dengan orang miskin, daripada membahagi-bahagikan jarahan dengan orang sombong. Sesiapa yang mengendahkan firman akan mendapat kebajikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN. Orang yang bijak hati disebut orang berpengertian, dan bicara manis meningkatkan pembelajaran. Akal budi itu mata air kehidupan bagi dia yang memilikinya, tetapi orang bodoh terseksa oleh kebodohannya. Hati orang bijaksana memimpin mulutnya menjadi bijaksana, dan menjadikan ucapan bibirnya lebih meyakinkan. Kata-kata yang menyenangkan seperti sarang lebah madu, manis bagi jiwa dan menyembuhkan tulang. Ada jalan yang dianggap orang sebagai lurus, tetapi akhirnya menuju maut. Rasa lapar seorang pekerja mendorongnya bekerja, kerana perutnya terus mendesaknya. Orang yang tidak berguna mencungkil kejahatan, dan di bibirnya bagaikan ada api yang menghanguskan. Orang yang suka memutarbalikkan sesuatu menimbulkan pertengkaran, dan pemfitnah menceraikan sahabat yang karib. Orang yang suka kekerasan memujuk jirannya, dan membawanya ke jalan yang tidak baik. Sesiapa yang sengaja mengenyitkan matanya merancang tipu muslihat, dan orang yang menggigit bibirnya telah pun melakukan kejahatan. Rambut yang beruban ialah mahkota yang mulia, yang didapati pada jalan kebenaran. Orang yang panjang sabar lebih baik daripada seorang kesateria, dan orang yang menguasai dirinya lebih baik daripada dia yang merebut kota. Undi dicabut ke dalam pangkuan, tetapi TUHAN sajalah yang menentukan setiap keputusannya.