AMSAL 15:1-33

AMSAL 15:1-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Jawapan yang lembut meredakan kemarahan, sedangkan kata-kata yang pedas membangkitkan amarah. Kata-kata orang bijak membuat pengetahuan menarik hati, tetapi kata-kata orang bodoh hanya kebodohan. TUHAN nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat. Kata-kata yang baik membangkitkan semangat, tetapi kata-kata yang kesat mematahkan semangat. Orang yang bodoh mengabaikan ajaran bapa; tetapi orang yang bijak menerima tegur ajar. Kekayaan orang baik kekal, tetapi kekayaan orang jahat hilang pada masa kesusahan. Pengetahuan disebarluaskan oleh orang bijak, bukan oleh orang bodoh. TUHAN berkenan apabila orang baik berdoa, tetapi Dia membenci korban yang dipersembahkan oleh orang jahat. TUHAN membenci cara hidup orang derhaka, tetapi Dia mengasihi orang yang berusaha untuk melakukan kehendak-Nya. Orang yang berbuat jahat akan dihukum dengan berat; orang yang tidak mahu menerima tegur ajar akan mati. Jika TUHAN mengetahui segala sesuatu tentang dunia orang mati, pasti Dia juga mengetahui fikiran manusia. Orang yang sombong tidak suka ditegur ajar; dia tidak pernah meminta nasihat daripada orang yang lebih bijak. Hati yang gembira membuat wajah berseri-seri; hati yang sedih mematahkan semangat. Orang yang bijak suka belajar, tetapi orang yang bodoh puas dengan kebodohan. Kehidupan orang miskin sentiasa susah, tetapi orang yang bersukacita sentiasa menikmati hidup. Lebih baik miskin dan takut kepada TUHAN, daripada kaya dan cemas. Lebih baik makan sayur tetapi disertai kasih sayang, daripada makan daging lazat tetapi disertai kebencian. Orang yang cepat marah menimbulkan pertengkaran, tetapi orang yang sabar mendatangkan perdamaian. Orang malas akan selalu mengalami kesusahan, tetapi orang jujur tidak menemui kesukaran. Anak yang bijak menyukakan hati bapanya; anak yang bodoh menghina ibunya. Orang bodoh puas dengan kebodohan, tetapi orang bijak melakukan apa yang betul. Rancangan berjaya jika disertai banyak nasihat; rancangan gagal jika tidak disertai pertimbangan. Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya mendatangkan kegembiraan. Orang bijak mengambil jalan mendaki yang menuju kehidupan, bukan jalan menurun yang menuju maut. TUHAN akan merobohkan rumah orang sombong, tetapi tanah milik seorang balu dilindungi-Nya. TUHAN membenci fikiran yang keji, tetapi berkenan kepada kata-kata yang baik. Orang yang mencari keuntungan dengan cara haram, menghancurkan keluarga mereka. Orang yang tidak makan suap akan berumur panjang. Orang baik berfikir dahulu sebelum menjawab. Orang jahat menjawab tanpa berfikir sehingga mendatangkan kesusahan. TUHAN mendengarkan doa orang baik, tetapi Dia tidak mengendahkan orang jahat. Wajah gembira meriangkan hati, berita baik menyenangkan hati. Orang yang mengendahkan tegur ajar, tergolong orang bijak. Orang yang tidak mahu belajar, tidak menghargai diri mereka. Orang yang menerima tegur ajar, menjadi lebih bijak. Hormat dan takut kepada TUHAN adalah cara memperoleh hikmat. Kehormatan didahului oleh kerendahan hati.

AMSAL 15:1-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah. Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan. TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik. Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat. Orang bodoh menolak didikan ayahnya, tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana. Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar, tetapi penghasilan orang durjana membawa kesusahan. Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan, tetapi hati orang bodoh tidak demikian. Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya. Jalan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar perbenaran. Hukuman yang keras menanti sesiapa yang meninggalkan jalan yang benar, dan orang yang membenci teguran akan mati. Alam barzakh dan neraka terbuka di depan TUHAN, lebih-lebih lagi hati anak-anak manusia! Pencemuh tidak menyukai orang yang memberikan teguran; dia tidak mahu pergi menemui orang bijaksana. Hati yang gembira membuat wajah berseri, tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat. Hati orang yang berpengertian mencari pengetahuan, tetapi mulut orang yang bebal menelan kebodohan. Bagi orang yang tertindas hari-harinya buruk belaka, tetapi hati yang riang sentiasa berpesta. Lebih baik sedikit harta disertai dengan takut kepada TUHAN daripada banyak harta disertai kekacauan. Lebih baik hidangan sayur di tempat wujudnya kasih, daripada hidangan lembu gemuk disertai kebencian. Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran, tetapi orang yang panjang sabar menenangkan pertikaian. Jalan si pemalas ibarat pagar duri, tetapi jalan orang yang lurus hati sebuah lebuh raya. Anak yang bijaksana menyukakan ayahnya, tetapi orang bodoh menghina ibunya. Kebodohan menjadi kesukaan bagi orang yang tidak berakal budi, tetapi orang yang berpengertian berjalan lurus. Rancangan gagal kerana tidak ada nasihat, tetapi berhasil dengan ramai penasihat. Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya, dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya! Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas, supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah. TUHAN membongkar rumah orang yang sombong, tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu. Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya. Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri, tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup. Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya, tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat. TUHAN jauh daripada orang yang durjana, tetapi doa orang benar didengar-Nya. Mata yang bercahaya menyukakan hati, dan khabar baik menyegarkan tulang. Orang yang mengendahkan teguran yang membawa pada kehidupan akan tinggal dalam kalangan bijaksana. Sesiapa menolak didikan, menghina diri sendiri, tetapi sesiapa yang mengendahkan teguran memperoleh pengertian. Takut kepada TUHAN adalah didikan yang mendatangkan hikmah, dan di sebalik kehormatan terdapat kerendahan hati.

AMSAL 15:1-33

AMSAL 15:1-33 BMAMSAL 15:1-33 BMAMSAL 15:1-33 BMAMSAL 15:1-33 BM