AMSAL 14:1-12
AMSAL 14:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Wanita yang bijak membina rumah tangganya, tetapi wanita yang bodoh meruntuhkan rumah tangganya sendiri. Orang yang jujur akan takut dan hormat kepada TUHAN, tetapi orang yang curang menghina Dia. Orang bodoh yang sombong terhukum oleh kata-kata mereka, tetapi kata-kata orang bijak melindungi mereka. Tanpa lembu untuk membajak tanah, gudang menjadi kosong; tetapi dengan kekuatan lembu, gudang menjadi penuh. Saksi yang jujur sentiasa mengatakan yang benar, tetapi saksi yang tidak jujur selalu berdusta. Orang sombong tidak akan menjadi bijak, tetapi orang cerdas belajar dengan mudah. Jauhkanlah diri daripada orang bodoh; mereka tidak dapat mengajarkan apa-apa. Orang yang bijak tahu apa yang harus dilakukannya; orang yang bodoh tertipu oleh kebodohannya sendiri. Orang bodoh tidak peduli sama ada dosa mereka diampunkan atau tidak, tetapi orang baik mahu dosa mereka diampunkan. Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya. Rumah orang baik tetap kukuh, tetapi rumah orang jahat akan roboh. Jalan yang disangka baik itu akhirnya menuju maut.
AMSAL 14:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Perempuan yang bijaksana membina rumahnya, tetapi yang bodoh merobohkannya dengan tangannya sendiri. Sesiapa yang hidup jujur, takut kepada TUHAN, tetapi orang yang menyimpang perilakunya menghina Dia. Di dalam mulut orang bodoh ada rotan bagi punggungnya, tetapi orang bijaksana dijaga oleh bibirnya. Jika tidak ada lembu, maka bersihlah kandang, tetapi dengan kekuatan lembu banyaklah hasil. Saksi yang setia tidak akan berdusta, tetapi saksi dusta menyampaikan pembohongan. Si pencemuh mencari hikmah dan tidak mendapatinya, tetapi orang yang berpengertian mudah mendapati pengetahuan. Jauhilah orang bodoh, kerana pada bibirnya tidak akan kautemukan pengetahuan. Hikmah orang bijaksana adalah memahami jalan hidupnya, tetapi kebodohan orang tolol adalah tipu daya. Orang bodoh mencemuh korban yang menebus kesalahan, tetapi kebajikan terdapat dalam kalangan yang tulus hati. Hati mengetahui kepahitannya sendiri, dan kegembiraannya tidak dapat turut dirasakan orang lain. Rumah orang durjana akan musnah, tetapi khemah orang yang jujur akan berkembang maju. Ada jalan yang dianggap orang lurus, tetapi akhirnya menuju maut.