AMSAL 1:1-19

AMSAL 1:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Amsal-amsal Raja Salomo raja Israel, iaitu putera Raja Daud. Amsal yang berikut akan menolong kamu mengenal hikmat dan nasihat yang baik, serta memahami ungkapan yang dalam maknanya. Amsal ini mengajar kamu hidup dengan bijaksana, jujur, adil, dan tidak berat sebelah. Amsal ini dapat mengajar orang yang tidak berpengalaman supaya berfikiran tajam, dan mengajar orang muda menjadi pandai dan bijaksana. Amsal ini dapat menambah pengetahuan orang bijaksana dan dapat membimbing orang terpelajar. Dengan demikian mereka dapat memahami makna yang tersirat dalam amsal, kata-kata, dan soalan yang dikemukakan oleh orang bijaksana. Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada TUHAN. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar. Hai anakku, perhatikanlah kata-kata bapa dan ibumu. Ajaran mereka akan menambah budi pekertimu seperti hiasan kepala dan kalung mempercantik rupamu. Anakku, jika kamu digoda oleh orang berdosa, jangan ikut pujukan mereka. Seandainya mereka berkata, “Marilah kita mencari orang dan membunuh mereka. Marilah kita menyerang orang yang tidak bersalah sekadar untuk bersuka-suka! Sekarang mereka hidup dan sihat, tetapi mereka akan mati apabila kita sudah mengerjakan mereka. Kita akan mendapat dan mengambil segala jenis kekayaan mereka, lalu memenuhi rumah kita dengan barang rampasan! Marilah ikut kami, kita akan berkongsi hasil curian kita!” Anakku, jangan ikut orang yang demikian. Jauhkan dirimu daripada mereka. Mereka tidak sabar lagi untuk melakukan kejahatan. Mereka ingin cepat-cepat membunuh orang. Tiada gunanya memasang jerat di depan mata burung yang hendak ditangkap, tetapi orang jahat seperti itu memasang perangkap bagi diri mereka - perangkap yang akan membinasakan mereka. Orang yang mencari nafkah dengan keganasan akan membayarnya dengan nyawanya sendiri.

AMSAL 1:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel: untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya, untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus; untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda. Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka. Takut kepada TUHAN adalah permulaan pengetahuan; orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan. Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu; kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu. Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu, jangan turuti. Jika mereka berkata, “Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah; mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab; mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup, bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat; kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan; buanglah undimu ke tengah-tengah kami; kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!” Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka; jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka, kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan, dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah. Betapa sia-sia membentangkan jaring di hadapan mata burung; namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri dan menghendap nyawa mereka sendiri. Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram; kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri.