FILIPI 1:9-20

FILIPI 1:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik, kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji. Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut. Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara. Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati.

FILIPI 1:9-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka inilah kupohonkan, supaya pŭngasihan kamu itu kŭlak makin lama makinlah bŭrtambah tambah dŭngan pŭngatahuan, dan dŭngan sagala akal halus; Supaya kamu dapat mŭngujikan pŭrkara pŭrkara yang tiada bŭrbetha; dan supaya kamu mŭnjadi tulos dŭngan tiada mŭndatangkan shak sampie kapada hari Almasih. Sŭbab kamu adalah bŭrisi dŭngan buah buahan kabŭnaran, iya itu yang deripada Isa Almasih, bagie kamuliaan dan kapujian Allah. Akan tŭtapi kukahandaki kamu mŭngatahui saudara saudara, adapun sagala pŭrkara yang tŭlah bŭrlaku padaku itu, iya itu tŭrlebih mŭnjalankan pŭngajaran Injil itu. Sahingga nyatalah bŭlungguku itu kŭrna Almasih pada sŭgŭnap istana, dan pada sagala tŭmpat tŭmpat yang lain pun. Maka banyaklah saudara saudara yang dalam agama Tuhan bŭrtambah tambah yakin ulih sŭbab blungguku itu, maka makinlab lebih braninya bŭrkata kata pŭrkataan Allah dŭngan tiada takot. Maka sungguh pun ada juga sŭtŭngah orang yang mŭngajar derihal Almasih itu, dŭngan kadŭngkian dan pŭrbantahan, dan sŭtŭngah orang pula dŭngan karelaan hatinya. Maka sŭtŭngah yang mŭngajar derihal Almasih itu dŭngan pŭrbantahan, tiada dŭngan tulos hatinya, pada sangkanya iya handak mŭnambahi kasukaran blungguku. Tŭtapi yang lain itu dŭngan kasih, sŭbab dikŭtahuinya aku ini dilŭtakkannya supaya mŭnjadi pŭnangkis Injil. Apatah kŭlak? kŭndatilah bagimana pun baik, kalau dŭngan pura pura, atau dŭngan sŭbŭnarnya diajarkan derihal Almasih itu; maka dalam hal dŭmkian itu gŭmarlah aku, bahkan aku handak bŭrgŭmar juga. Kŭrna aku tahu, bahwa pŭrkara inilah kŭlak tŭrbalik mŭnjadi slamatku dŭngan tulongan doa kamu, sŭrta dŭngan tambahan Roh Isa Almasih. Spŭrti dŭngan bŭrahi, kumŭnantikan sŭrta harap, dalam suatu jua pun tiada aku mŭnjadi malu, tŭtapi dŭngan sangat brani, spŭrti pada sŭdiakalanya, maka dŭmkian juga skarang pun, Almasih itu akan dimŭgahkan dalam diriku, baik dŭngan hidop, baik dŭngan mati.

FILIPI 1:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian, supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus, serta dipenuhi dengan buah perbenaran yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah. Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus. Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan. Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara. Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus. Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati.

FILIPI 1:9-20

FILIPI 1:9-20 BM