FILIPI 1:3-8
FILIPI 1:3-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus.
FILIPI 1:3-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapada Allahku, pada tiap tiap kali kutŭringat akan kamu. Sŭrta sŭntiasa dalam sagala doaku bagie kamu, kupohonkan dŭngan tŭrmasa; Kŭrna sŭbab pŭrskutuan kamu dŭngan Injil deri pŭrmulaan hari sampielah skarang ini. Sŭbab adalah kupŭrchaya akan pŭrkara inilah juga, iya itu Tuhan yang tŭlah mŭmulai suatu pŭkŭrjaan yang baik dalammu itu, maka iyalah juga kŭlak akan mŭnyampornakan dia itu sampie kapada masa kadatangan Isa Almasih. Maka adalah patut bagieku mŭngirakan dŭmkian ini deri hal kamu skalain, ulih sŭbab kamu adalah dalam hatiku; sŭdang dalam hal tŭrblungguku itu, dan dalam bichara dan katŭtapan Injil itu, maka kamu skalian mŭndapat sama bahgian anugrah dŭngan aku. Kŭrna bahwasanya Allah juga saksiku, bagimanakah rindu dŭndamnya aku akan kamu, laksana jantong limpat Isa Almasih.
FILIPI 1:3-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku, kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang. Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus. Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu juga turut mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Kristus Yesus.