BILANGAN 9:16-23
BILANGAN 9:15-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada hari Khemah TUHAN dipasang, awan datang menutupi Khemah itu. Pada waktu malam awan itu kelihatan seperti api. Tiap-tiap kali awan itu naik, umat Israel menggulung khemah lalu berangkat. Di mana sahaja awan itu turun, di tempat itulah mereka memasang khemah. Dengan perintah TUHAN, umat itu menggulung khemah, dan dengan perintah-Nya juga mereka memasang khemah. Selama awan itu berada di atas Khemah TUHAN, mereka tetap tinggal di tempat itu. Jika awan itu lama berada di atas Khemah TUHAN, mereka taat kepada TUHAN dan tidak berpindah. Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama beberapa hari sahaja. Bagaimana pun, hanya perintah TUHAN yang menentukan sama ada mereka tinggal di satu tempat ataupun berpindah. Ada kalanya awan itu berada di atas Khemah TUHAN hanya dari petang sampai pagi, dan mereka berangkat sebaik sahaja awan itu naik. Bila-bila sahaja awan itu naik, mereka berangkat. Jika awan itu berada di atas Khemah TUHAN selama dua hari, satu bulan, satu tahun, atau lebih lama daripada itu, selama itulah mereka tinggal di tempat itu. Tetapi apabila awan itu naik, mereka berangkat. Mereka tinggal di satu tempat dan berpindah ke tempat lain menurut perintah TUHAN yang disampaikan-Nya melalui Musa.
BILANGAN 9:16-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah selalu terjadi: Awan melitupi Khemah itu, dan pada malam hari ada sesuatu yang kelihatan seperti api. Apabila awan itu terangkat dari atas khemah, maka orang Israel pun berangkat, dan di mana sahaja awan itu berhenti, di situ pulalah orang Israel berkhemah. Maka orang Israel berangkat berpandukan firman TUHAN dan mereka juga berkhemah berpandukan firman TUHAN. Selama awan itu tetap berada di atas Khemah Suci, selama itulah mereka terus berkhemah. Sekalipun awan itu berhenti cukup lama di atas Khemah Suci, maka orang Israel menunaikan kewajipan mereka terhadap TUHAN dan tidak berangkat. Ada kalanya awan itu hanya berhenti beberapa hari di atas Khemah Suci. Jadi, berpandukan firman TUHAN mereka berkhemah dan berpandukan firman TUHAN jugalah mereka berangkat. Ada kalanya awan itu berhenti dari petang sampai pagi, dan ketika awan itu terangkat pada pagi harinya, mereka pun berangkat. Baik siang mahupun malam, apabila awan itu terangkat, mereka pun berangkat. Tidak kiralah sama ada dua hari, sebulan, atau lebih lama lagi awan itu berhenti di atas Khemah Suci, orang Israel akan tetap berkhemah dan tidak akan berangkat. Tetapi sebaliknya, apabila naik sahaja awan itu, mereka pun berangkat. Berpandukan firman TUHAN mereka berkhemah dan berpandukan firman TUHAN jugalah mereka berangkat. Mereka menunaikan kewajipan mereka terhadap TUHAN berpandukan firman TUHAN dengan perantaraan Musa.