BILANGAN 20:1-12

BILANGAN 20:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada bulan yang pertama, segenap umat Israel tiba di padang gurun Zin, lalu mereka berkhemah di Kades. Di situlah Miryam meninggal dan dikebumikan. Pada suatu masa di tempat umat Israel berkhemah, tidak terdapat air. Oleh itu mereka berkumpul di sekeliling Musa dan Harun, sambil bersungut-sungut, “Lebih baik kami mati bersama dengan saudara-saudara kami di hadapan Khemah TUHAN. Mengapa kamu membawa kami ke padang gurun ini? Adakah kamu mahu kami mati di sini bersama dengan ternakan kami? Mengapa kamu membawa kami keluar dari Mesir, lalu pergi ke tempat celaka yang tidak dapat ditanami apa-apa? Di sini tidak ada gandum, buah ara, buah anggur, ataupun buah delima. Bahkan air minum pun tidak ada!” Musa dan Harun menjauhi umat itu, lalu berdiri di pintu Khemah TUHAN. Mereka bersujud, lalu cahaya hadirat TUHAN menyinari mereka. TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah tongkat di depan Tabut Perjanjian itu, lalu engkau bersama-sama Harun harus mengumpulkan semua orang Israel. Di depan mereka semua, berkatalah kepada bukit batu di situ, lalu batu itu akan memancarkan air. Dengan cara itu engkau akan mengeluarkan air dari batu itu untuk orang Israel, supaya mereka dan ternakan mereka dapat minum.” Musa mengambil tongkat itu sebagaimana yang diperintahkan TUHAN. Musa dan Harun mengumpulkan semua orang Israel di depan bukit batu itu. Kemudian Musa berkata, “Dengarlah, hai pemberontak! Haruskah kami mengeluarkan air dari bukit batu ini untuk kamu?” Kemudian Musa mengangkat tongkat itu dan memukulkannya dua kali pada bukit batu itu. Air memancar keluar sehingga segenap umat itu dan ternakan mereka dapat minum. Tetapi TUHAN menegur Musa dan Harun, lalu berfirman, “Kerana kamu kurang percaya kepada-Ku untuk menyatakan kuasa-Ku yang suci di hadapan umat Israel, kamu tidak akan memimpin umat itu ke tanah yang Aku janjikan kepada mereka.”

BILANGAN 20:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sampailah seluruh kalangan umat Israel di Gurun Zin pada bulan pertama, lalu tinggallah umat itu di Kadesh. Di sanalah Miryam meninggal dan dimakamkan. Pada suatu waktu, tidak ada air bagi umat itu. Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. Bangsa itu berbantah terhadap Musa dan berkata, “Kalau sahaja kami mati ketika saudara-saudara kami itu mati di hadapan TUHAN! Mengapakah kamu membawa jemaah TUHAN ke gurun ini? Supaya kami dan ternakan kami mati di sini? Mengapa pula kamu memimpin kami keluar dari Mesir dan membawa kami ke tempat buruk ini, yang bukan tempat biji-bijian, bukan tempat pokok ara, pokok anggur, atau pokok delima, bahkan air minum pun tidak ada?” Musa dan Harun pergi meninggalkan jemaah itu menuju pintu Khemah Pertemuan, lalu mereka pun bersujud. Kemudian kemuliaan TUHAN tampak di hadapan mereka. Firman TUHAN kepada Musa, “Ambillah tongkatmu, lalu bersama dengan Harun abangmu kumpulkanlah jemaah itu. Berbicaralah kepada bukit batu itu di hadapan mata mereka agar bukit batu itu mengeluarkan airnya. Begitulah cara kamu mengeluarkan air dari bukit batu itu bagi mereka dan memberikan minum umat itu berserta segala ternakan mereka.” Musa mengambil tongkat itu dari hadirat TUHAN, seperti yang diperintahkan-Nya kepadanya. Kemudian Musa dan Harun mengumpulkan umat itu di depan bukit batu. Kata Musa kepada mereka, “Dengarlah, hai orang derhaka! Apakah kami harus mengeluarkan air bagimu dari bukit batu ini?” Lalu Musa mengangkat tangannya dan memukul bukit batu itu dua kali dengan tongkatnya. Maka keluarlah air dengan limpahnya, dan minumlah umat itu berserta ternakan mereka. Akan tetapi, TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Kerana kamu tidak percaya kepada-Ku dan tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata orang Israel, maka kamu tidak akan membawa jemaah ini masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepada mereka.”