BILANGAN 12:1-16

BILANGAN 12:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Musa telah berkahwin dengan seorang perempuan Kus. Oleh itu Miryam dan Harun menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mencela Musa. Mereka berkata, “Adakah TUHAN berfirman melalui Musa sahaja? Tidakkah TUHAN berfirman melalui kita juga?” TUHAN mendengar kata-kata mereka itu. Musa seorang yang rendah hati, lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi. Tiba-tiba TUHAN berfirman kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Aku mahu kamu bertiga pergi ke Khemah-Ku.” Mereka pun pergi, lalu TUHAN turun di dalam tiang awan dan berdiri di pintu Khemah TUHAN, serta berseru, “Harun! Miryam!” Kedua-dua mereka maju, lalu TUHAN berfirman, “Dengarlah firman-Ku ini. Apabila ada nabi-nabi di kalangan kamu, Aku menyatakan diri kepada mereka dalam penglihatan dan Aku berfirman kepada mereka dalam mimpi. Tetapi tidak demikian dengan hamba-Ku Musa; Aku sudah menjadikan dia pemimpin segenap umat-Ku Israel. Oleh itu Aku berfirman kepadanya berhadapan muka, secara jelas dan bukan dengan teka-teki; bahkan rupa-Ku pun sudah dilihatnya. Mengapa kamu berani melawan Musa, hamba-Ku?” TUHAN murka kepada Harun dan Miryam; oleh itu, ketika TUHAN pergi dan awan itu meninggalkan Khemah, tiba-tiba kulit Miryam kena penyakit kulit yang mengerikan. Kulitnya menjadi putih seperti salji. Apabila Harun nampak bahawa Miryam telah kena penyakit itu, Harun berkata kepada Musa, “Tolonglah tuan, janganlah biar kami diseksa kerana dosa yang kami lakukan dalam kebodohan kami. Janganlah biarkan dia menjadi seperti bayi yang lahir mati, dengan dagingnya setengah busuk.” Maka Musa berseru kepada TUHAN, “Ya Allah, sembuhkanlah dia!” TUHAN menjawab, “Andaikata bapanya meludahi mukanya, dia mesti menanggung malu selama tujuh hari. Oleh itu keluarkanlah dia dari perkhemahan selama tujuh hari. Selepas itu, dia boleh dibawa masuk semula.” Miryam dikeluarkan dari perkhemahan selama tujuh hari, dan umat Israel tidak memindahkan perkhemahan sehingga Miryam dibawa masuk semula. Kemudian mereka meninggalkan Hazerot, lalu berkhemah di padang gurun Paran.

BILANGAN 12:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Miryam dan Harun mencemuh Musa berhubungan dengan seorang perempuan Kush yang telah diperisteri Musa. Memang Musa telah memperisteri seorang perempuan Kush. Kata mereka, “Sungguhkah TUHAN berfirman melalui Musa sahaja? Bukankah Dia juga berfirman melalui kita?” Dan TUHAN mendengar hal itu. Musa seorang yang begitu lembut hatinya, bahkan lebih lembut daripada semua umat yang berada di muka bumi ini. Tiba-tiba berfirmanlah TUHAN kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Keluarlah kamu bertiga ke Khemah Pertemuan.” Maka keluarlah mereka bertiga. Kemudian TUHAN hadir dalam tiang awan, di pintu Khemah itu. Dipanggil-Nya Harun dan Miryam, lalu tampillah kedua-duanya. Firman-Nya, “Dengarlah firman-Ku ini: Jika ada seorang nabi TUHAN dalam kalangan kamu, maka Aku akan menyatakan diri-Ku kepadanya melalui penglihatan, dan Aku akan berfirman kepadanya dalam mimpi. Tetapi tidak demikian halnya dengan hamba-Ku Musa, seorang yang setia dalam seluruh bait-Ku. Dengan dia Aku berbicara secara bersemuka, secara jelas dan bukan dengan teka-teki, dan dia juga pernah melihat secara jelas akan kemuliaan TUHAN. Mengapakah kamu tidak takut untuk mencemuh hamba-Ku Musa?” Menyala-nyalalah kemurkaan TUHAN terhadap mereka, lalu ditinggalkan-Nya mereka. Setelah awan itu berpindah dari atas Khemah, nampaklah kudis kusta seputih salji ada pada Miryam! Harun memandang Miryam, dan memang ternyata Miryam ada kudis kusta! Kata Harun kepada Musa, “Wahai tuanku, kumohon janganlah hukum kami atas dosa kesalahan kami, yang kami lakukan dengan bodoh itu. Mohon jangan biarkan dia menjadi seperti orang mati yang dagingnya sudah separuh rosak ketika keluar daripada rahim ibunya.” Musa pun berseru kepada TUHAN dan memohon: “Ya Allah, tolonglah kiranya menyembuhkan dia.” Namun demikian, TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekiranya ayahnya meludahi mukanya, bukankah dia akan dimalukan selama tujuh hari? Jadi, biarlah dia dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari dan setelah itu barulah dia boleh dibawa masuk semula.” Maka Miryam pun dikurung di luar perkhemahan selama tujuh hari, dan umat itu tidak berangkat sebelum Miryam dibawa masuk kembali. Setelah itu berangkatlah umat itu dari Hazerot, lalu berkhemah di Gurun Paran.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami