NEHEMIA 9:9,13-21
NEHEMIA 9:9 Alkitab Berita Baik (BM)
Engkau nampak nenek moyang kami menderita di Mesir; Engkau mendengar seruan mereka minta tolong di Laut Gelagah.
NEHEMIA 9:13-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Dari langit Engkau turun ke Gunung Sinai; Engkau berfirman kepada umat-Mu sendiri. Engkau memberi mereka hukum, peraturan, dan perintah yang adil, benar, dan berfaedah. Engkau mengajar mereka merayakan hari Sabat yang suci itu, dan melalui hamba-Mu Musa, Engkau memberi mereka hukum-Mu. Apabila mereka lapar, roti dari langit Engkau turunkan, apabila mereka dahaga, air dari batu Engkau pancarkan. Engkau menyuruh mereka menguasai tanah yang telah Engkau janjikan kepada mereka. Tetapi nenek moyang kami keras kepala dan angkuh, mereka tidak mentaati perintah-Mu. Mereka tidak mahu patuh; mereka melupakan segala perbuatan-Mu, dan semua mukjizat yang sudah Engkau lakukan itu. Dengan angkuh mereka memilih seorang ketua, untuk membawa mereka ke Mesir, dan menjadi hamba semula. Tetapi Engkau Allah yang mengampuni; Engkau panjang sabar, berbelas kasihan, dan pengasih; Rahmat-Mu besar, dan Engkau tidak meninggalkan mereka. Mereka membuat berhala berbentuk anak lembu, lalu berkata bahawa berhala itu memimpin mereka keluar dari Mesir. Ya TUHAN, mereka sangat menghina Engkau. Namun Engkau tidak meninggalkan mereka di padang pasir, kerana rahmat-Mu sungguh besar! Engkau tidak mengambil balik tiang awan atau tiang api yang menunjukkan jalan kepada mereka pada siang dan malam hari. Demi kebaikan-Mu, Engkau memberitahu mereka apa yang harus dilakukan; Engkau memberi mereka manna sebagai makanan, Engkau memberi mereka air sebagai minuman. Selama empat puluh tahun di padang gurun, Engkau memberi mereka segala yang diperlukan. Pakaian mereka tidak pernah rosak, dan kaki mereka tidak sakit atau bengkak.
NEHEMIA 9:9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Engkau melihat kesusahan nenek moyang kami di Mesir dan mendengar seruan mereka di tepi Laut Merah.
Nehemia 9:13-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Engkau turun dan hadir di atas Gunung Sinai dan berfirman kepada mereka dari langit. Kauberi mereka peraturan-peraturan yang adil, hukum-hukum yang benar, serta ketetapan-ketetapan dan perintah-perintah yang baik. Engkau menyatakan kepada mereka fasal hari Sabat-Mu yang suci, dan Kauberi mereka perintah-perintah, ketetapan-ketetapan, dan hukum dengan perantaraan Musa, hamba-Mu. Engkau pula memberikan kepada mereka roti dari langit sebagai pengubat kelaparan, dan Engkau memancarkan air daripada bukit batu sebagai penawar kehausan. Engkau menyuruh mereka masuk menduduki negeri yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah untuk dikurniakan kepada mereka. Tetapi mereka serta nenek moyang kami itu, bertindak angkuh, mengeraskan hati, dan tidak mahu mendengar segala perintah-Mu. Mereka tidak mahu taat dan tidak mengingati perbuatan-perbuatan ajaib yang telah Kaubuat dalam kalangan mereka. Mereka mengeraskan hati, dan dalam penderhakaan mereka itu, mereka melantik seorang pemimpin untuk kembali ke dalam kancah perhambaan. Namun demikian, Engkau ialah Allah yang pengampun, pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih, sehingga Engkau tidak meninggalkan mereka. Bahkan ketika mereka membuat anak lembu tuangan lalu berkata, ‘Inilah Allahmu, yang memimpin kamu keluar dari Mesir,’ dan ketika mereka teramat berdosa dengan menghumbankan pelbagai nista terhadap Engkau, Engkau tidak meninggalkan mereka di gurun itu atas sebab teramat besarnya kasih sayang-Mu. Tiang awan tidak meninggalkan mereka pada siang hari untuk memimpin mereka di jalan, demikian juga tiang api pada malam hari untuk menerangi jalan yang harus ditempuh mereka. Engkau mengurniakan Roh-Mu yang baik untuk mengajar mereka. Manna-Mu tidak Kautahan daripada mulut mereka dan Engkau memberi mereka air sebagai penawar haus. Empat puluh tahun lamanya Engkau mencukupkan segala keperluan mereka di gurun itu. Mereka tidak kekurangan apa-apa pun. Pakaian mereka tidak usang, dan kaki mereka tidak bengkak.