NEHEMIA 9:17,27-31

Nehemia 9:27-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Atas sebab itulah Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan pihak lawan yang menyesakkan mereka. Namun demikian, ketika mereka berseru kepada-Mu pada masa mereka mengalami kesesakan, dari syurga Engkau mendengar permohonan mereka, dan kerana kasih sayang-Mu yang sebegitu besar, Kauberi mereka beberapa orang penyelamat yang melepaskan mereka daripada tangan pihak musuh mereka. Meskipun demikian, setelah mereka mendapat kelegaan sedikit, mereka berbuat jahat semula di hadapan-Mu. Oleh sebab itu Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan para musuh mereka yang kemudian menguasai mereka. Akan tetapi, ketika mereka kembali berbalik dan berseru kepada-Mu, dari persemayaman-Mu di syurga, Engkau sudi mendengar rintihan mereka dan berkali-kali Engkau menyelamatkan mereka kerana kasih sayang-Mu. Engkau memperingatkan mereka agar mereka berbalik kepada hukum Taurat-Mu tetapi mereka bersikap angkuh dan tidak mahu mendengar segala perintah-Mu. Mereka berdosa menentang segala peraturan-Mu, padahal orang yang mentaatinya akan hidup kerananya. Mereka membalikkan diri tanda membangkang, mengeraskan hati dan enggan mendengar. Selama bertahun-tahun Engkau sabar terhadap mereka dan menerusi Roh-Mu, Engkau mengingatkan mereka dengan perantaraan para nabi-Mu, tetapi mereka tidak mahu mendengar. Oleh sebab itu Engkau menyerahkan mereka ke dalam tangan bangsa segala negeri. Namun demikian, kerana begitu besarnya kasih sayang-Mu, Engkau tidak memusnahkan mereka dan tidak meninggalkan mereka, kerana Engkaulah Allah yang pengasih dan penyayang.