NEHEMIA 5:9-19
NEHEMIA 5:9-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian aku berkata lagi, “Perbuatan kamu itu salah! Kamu seharusnya takut dan hormat akan Allah dan melakukan hal yang baik. Dengan demikian, musuh kita yang tidak percaya kepada Allah itu, tidak akan mendapat alasan untuk menghina kita. Aku sendiri sudah meminjamkan wang dan gandum kepada rakyat; demikian juga yang dilakukan oleh teman-temanku dan orang yang bekerja untuk aku. Sekarang, marilah kita batalkan tuntutan pembayaran balik pinjaman itu. Hapuskanlah semua hutang mereka - wang, atau gandum, atau wain, ataupun minyak zaitun. Kembalikanlah ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka dengan segera!” Pemimpin-pemimpin itu menjawab, “Baiklah, kami akan melakukan seperti yang tuan katakan. Kami akan memulangkan semuanya tanpa menuntut pembayaran daripada mereka.” Kemudian aku memanggil para imam, lalu menyuruh para pemimpin itu bersumpah di hadapan mereka, supaya janji yang diucapkan para pemimpin itu betul-betul dilaksanakan. Setelah itu aku menanggalkan ikat pinggangku dan mengebaskannya di hadapan mereka, dan berkata, “Beginilah caranya Allah akan mengebaskan setiap orang di kalangan kamu yang tidak menepati janjinya. Allah akan mengambil rumah orang itu dan segala miliknya, sehingga orang itu tidak lagi mempunyai apa-apa.” Semua orang yang hadir di situ berkata, “Amin!” lalu memuji TUHAN. Para pemimpin itu pun menepati janji mereka. Aku sudah menjadi gabenor negeri Yehuda selama dua belas tahun, iaitu dari tahun kedua puluh pemerintahan Raja Artahsasta sehingga tahun ketiga puluh dua pemerintahannya. Selama itu, aku dan sanak keluargaku tidak pernah makan makanan yang dikhaskan untuk aku sebagai gabenor. Setiap orang yang menjadi gabenor sebelum aku telah menjadi beban kepada rakyat kerana gabenor itu menuntut 40 wang perak sehari bagi makanan dan wain. Bahkan pegawai-pegawai mereka pun menindas rakyat, tetapi aku tidak berbuat demikian kerana aku takut dan hormat akan Allah. Aku mencurahkan seluruh tenagaku bagi pembinaan semula tembok itu, dan aku tidak mengambil tanah sedikit pun. Setiap orang yang bekerja bagiku, ikut bekerja dalam pembinaan itu. Aku biasa menjamu seratus lima puluh orang Yahudi dan para pemimpin mereka di rumahku, selain daripada tetamu dari negeri-negeri jiran. Setiap hari dengan biayaku sendiri, seekor lembu, enam ekor domba yang terbaik, dan banyak sekali ayam disembelih. Di samping itu, tiap-tiap sepuluh hari aku menyediakan wain baru. Meskipun begitu, aku tidak mengambil elaun gabenor kerana aku tahu bahawa tanggungan rakyat sudah cukup berat. Aku memohon kepada-Mu, ya Allah, ingatlah akan semua kebajikan yang sudah aku lakukan bagi bangsa ini, dan berkatilah aku.
NEHEMIA 5:9-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu kataku, “Apa yang kamu lakukan itu memang tidak baik! Bukankah kamu patut hidup takut kepada Allah kita untuk menghindari celaan bangsa-bangsa lain yang merupakan musuh kita? Aku sendiri, para saudaraku, dan anak buahku juga meminjamkan wang serta gandum kepada mereka. Biarlah kita menghapuskan perbuatan menyita gadaian atas hutang itu. Pada hari ini juga, kembalikanlah kepada mereka ladang, kebun anggur, kebun zaitun, dan rumah mereka, juga peratusan wang, gandum, air anggur, dan minyak yang kamu tagih daripada mereka.” Kata mereka, “Kami akan mengembalikannya dan tidak akan menuntut sesuatu pun daripada mereka. Kami akan berbuat tepat sebagaimana yang tuan katakan.” Kemudian aku memanggil para imam dan menyuruh kesemua warga itu bersumpah bahawa mereka akan bertindak menurut perjanjian itu. Aku juga mengebaskan lipatan bajuku sambil berkata, “Demikianlah akan dikebas Allah dari rumahnya dan daripada hasil jerih lelahnya setiap orang yang tidak menepati perjanjian ini. Demikianlah dia dikebas dan dihampakan.” Seluruh jemaah berkata, “Amin,” lalu memuji-muji TUHAN. Maka rakyat melakukan sebagaimana yang dijanjikan mereka itu. Sejak aku ditetapkan menjadi pembesar di Tanah Yehuda, iaitu selama dua belas tahun sejak tahun kedua puluh sampai tahun ketiga puluh dua pemerintahan Raja Artahsasta, aku dan para saudaraku tidak pernah makan peruntukan makanan pembesar. Tetapi dahulunya, para pembesar sebelum aku memang memberatkan beban rakyat. Mereka memungut makanan dan anggur daripada rakyat, selain perak senilai empat puluh syikal. Bahkan anak buah mereka bermaharajalela atas rakyat. Tetapi aku tidak mahu berbuat demikian kerana aku takut kepada Allah. Aku juga mencurahkan tenaga dalam kerja-kerja pembinaan semula tembok itu. Kami tidak membeli sebidang tanah pun, dan semua anak buahku dikerahkan ke sana untuk melaksanakan pekerjaan itu. Ada seratus lima puluh pemimpin serta warga orang Yahudi yang kujamu di mejaku, selain mereka yang datang kepada kami daripada bangsa-bangsa di sekeliling kami. Makanan yang harus disediakan setiap hari ialah seekor lembu dan enam ekor domba pilihan. Beberapa ekor burung juga disediakan bagiku dan setiap sepuluh hari dibekalkan berbagai-bagai jenis air anggur yang begitu banyak. Sungguhpun demikian, aku langsung tidak menuntut peruntukan makanan pembesar kerana rakyat ini sudah memikul tanggungan yang memang teramat berat. Ya Allahku, ingatlah aku demi kesejahteraanku, selaras dengan segala yang kulakukan demi bangsa ini.