NEHEMIA 4:1-9

NEHEMIA 4:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Sanbalat mendengar bahawa kami orang Yahudi sudah mula memperbaiki tembok kota, dia sangat marah dan mula mengolok-olok kami. Di hadapan sahabat-sahabatnya dan pasukan tentera Samaria, dia berkata, “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Yahudi yang celaka ini? Adakah mereka berniat untuk membina semula kota ini? Adakah mereka berfikir bahawa dengan mempersembahkan korban, mereka akan menyelesaikan pekerjaan itu dalam sehari? Dapatkah mereka membuat batu binaan daripada tumpukan sampah yang sudah hangus?” Tobia yang berdiri di samping Sanbalat, juga berkata, “Tembok semacam apakah yang dapat dibina mereka? Anjing hutan pun dapat merobohkannya!” Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, dengarlah bagaimana mereka menghina kami! Biarlah penghinaan itu menimpa diri mereka sendiri. Biarlah segala harta mereka dirampas, dan biarlah mereka dibawa ke negeri orang sebagai orang tawanan. Jangan ampunkan kejahatan mereka, dan jangan lupakan dosa mereka, kerana mereka sudah menghina kami yang sedang membina tembok ini.” Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat. Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam.

NEHEMIA 4:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Begitu terganggu dan teramat marahlah Sanbalat apabila didengarnya bahawa kami sedang membina semula tembok itu lalu dia mengolok-olokkan orang Yahudi. Maka di hadapan saudara-saudaranya dan tentera Samaria dia berkata, “Apalah sangat yang terdaya dilakukan orang Yahudi yang lemah ini? Adakah mereka akan membina semula apa-apa sahaja yang dikehendaki mereka? Adakah mereka mahu mempersembahkan korban? Adakah mereka akan selesai pada hari ini? Adakah mereka akan menghidupkan kembali batu-batu daripada timbunan puing yang telah terbakar itu?” Tobia, bani Amon yang ada berdekatan dengannya, berkata, “Meskipun mereka membinanya semula, tembok batu mereka itu akan roboh walaupun hanya seekor rubah yang memanjatnya.” Ya Allah kami, dengarlah bagaimana kami menjadi hinaan. Balikkanlah celaan mereka kepada diri mereka sendiri dan serahkanlah mereka sebagai rampasan di negeri tempat tawanan. Janganlah tutup kesalahan mereka dan janganlah hapuskan dosa mereka dari hadapan-Mu, kerana mereka telah membangkitkan murka-Mu di depan pembina yang sedang menjalankan kerja pembinaan itu. Kami terus membina semula tembok sehingga seluruh tembok itu siap setakat separuh ketinggiannya, berkat usaha umat yang sememangnya bekerja dengan penuh tekad. Namun begitu, apabila Sanbalat, Tobia, orang Arab, bani Amon, dan orang Asdod mendengar perihal kemajuan pesat kerja-kerja pembaikan tembok Yerusalem dan betapa lubang-lubangnya mulai tertutup, maka sangat marahlah mereka. Mereka semua bermuafakat bersama untuk datang memerangi Yerusalem dan mengadakan huru-hara di sana. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan atas sebab sikap mereka itu, kami menjalankan pengawalan siang dan malam.