NEHEMIA 4:1-23

NEHEMIA 4:1-23 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Sanbalat mendengar bahawa kami orang Yahudi sudah mula memperbaiki tembok kota, dia sangat marah dan mula mengolok-olok kami. Di hadapan sahabat-sahabatnya dan pasukan tentera Samaria, dia berkata, “Apakah yang sedang dilakukan oleh orang Yahudi yang celaka ini? Adakah mereka berniat untuk membina semula kota ini? Adakah mereka berfikir bahawa dengan mempersembahkan korban, mereka akan menyelesaikan pekerjaan itu dalam sehari? Dapatkah mereka membuat batu binaan daripada tumpukan sampah yang sudah hangus?” Tobia yang berdiri di samping Sanbalat, juga berkata, “Tembok semacam apakah yang dapat dibina mereka? Anjing hutan pun dapat merobohkannya!” Kemudian aku berdoa, “Ya Allah, dengarlah bagaimana mereka menghina kami! Biarlah penghinaan itu menimpa diri mereka sendiri. Biarlah segala harta mereka dirampas, dan biarlah mereka dibawa ke negeri orang sebagai orang tawanan. Jangan ampunkan kejahatan mereka, dan jangan lupakan dosa mereka, kerana mereka sudah menghina kami yang sedang membina tembok ini.” Oleh itu kami terus memperbaiki tembok. Tidak lama kemudian tembok itu selesai diperbaiki sehingga setengah daripada tingginya, kerana rakyat bekerja dengan penuh semangat. Ketika Sanbalat, Tobia, orang Arab, orang Amon, dan orang Asdod mendengar bahawa pekerjaan memperbaiki tembok Yerusalem itu maju dengan pesat, dan bahawa lubang-lubang pada tembok itu sudah ditutup, mereka naik berang. Oleh itu mereka semua bermuslihat hendak menyerang Yerusalem dan menimbulkan kekacauan. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan menyuruh orang mengawal kota itu daripada serangan mereka, pada siang dan malam. Kemudian orang Yehuda mula menyanyikan nyanyian berikut: “Kami lemah kerana memikul beban, sedangkan sampah masih bertimbun-timbun. Kami tidak berdaya membina tembok hari ini.” Musuh kami berfikir bahawa kami tidak akan nampak mereka atau mengetahui hal yang berlaku sehingga saatnya mereka sudah menyerang kami, dan membunuh kami serta menghentikan pekerjaan kami. Tetapi berkali-kali, orang Yahudi yang tinggal berhampiran dengan musuh kami datang memberitahu kami akan rancangan musuh itu terhadap kami. Oleh itu aku melengkapi rakyat dengan pedang, tombak, dan panah. Aku menempatkan mereka menurut puak masing-masing di belakang tembok, iaitu di tempat-tempat yang belum diperbaiki. Apabila aku nampak bahawa rakyat gelisah, aku berkata kepada mereka, para pemimpin dan pegawai mereka, “Jangan takut akan musuh. Ingatlah betapa besar dan hebatnya Tuhan kita, dan berjuanglah untuk saudara-saudara kamu, anak isteri kamu, dan rumah-rumah kamu.” Musuh kami mendengar bahawa muslihat mereka sudah kami ketahui. Oleh itu mereka sedar bahawa Allah sudah menggagalkan rancangan mereka. Kemudian kami semua kembali bekerja memperbaiki tembok itu. Sejak itu setengah daripada anak buahku bekerja, dan setengah lagi berkawal dengan berpakaian baju perang, lengkap dengan tombak, perisai, dan panah. Para pemimpin kami memberikan sokongan penuh kepada mereka yang memperbaiki tembok itu. Bahkan mereka yang mengangkat bahan binaan pun bekerja dengan satu tangan, dan membawa senjata dengan tangan sebelah. Tiap-tiap orang yang bekerja dalam pembinaan membawa sebilah pedang yang terikat pada pinggangnya. Orang yang bertugas meniup trompet sebagai tanda bahaya sentiasa di sampingku. Aku berkata kepada rakyat, para pegawai, dan pemimpin mereka, “Pekerjaan ini meliputi jarak yang luas, sehingga kita terpencar-pencar di sepanjang tembok ini, seorang jauh daripada yang lain. Oleh itu, jika kamu mendengar bunyi trompet, segeralah berkumpul di sekelilingku. Allah kita akan berperang untuk kita.” Demikianlah kami bekerja tiap-tiap hari, mulai dari subuh sehingga bintang-bintang kelihatan di langit. Setengah daripada rakyat bekerja memperbaiki tembok, dan setengah lagi berkawal dengan membawa tombak. Selama masa itu aku menyuruh semua pengawas dan semua pembantu mereka bermalam di Yerusalem, supaya kami dapat mengawal kota pada malam hari dan bekerja pada siang hari. Aku tidak menanggalkan pakaianku walaupun pada waktu malam, dan demikian juga teman-temanku, anak buahku, dan para pengawal peribadiku. Kami semua sentiasa dalam keadaan siap sedia, dengan memegang senjata kami.

NEHEMIA 4:1-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Begitu terganggu dan teramat marahlah Sanbalat apabila didengarnya bahawa kami sedang membina semula tembok itu lalu dia mengolok-olokkan orang Yahudi. Maka di hadapan saudara-saudaranya dan tentera Samaria dia berkata, “Apalah sangat yang terdaya dilakukan orang Yahudi yang lemah ini? Adakah mereka akan membina semula apa-apa sahaja yang dikehendaki mereka? Adakah mereka mahu mempersembahkan korban? Adakah mereka akan selesai pada hari ini? Adakah mereka akan menghidupkan kembali batu-batu daripada timbunan puing yang telah terbakar itu?” Tobia, bani Amon yang ada berdekatan dengannya, berkata, “Meskipun mereka membinanya semula, tembok batu mereka itu akan roboh walaupun hanya seekor rubah yang memanjatnya.” Ya Allah kami, dengarlah bagaimana kami menjadi hinaan. Balikkanlah celaan mereka kepada diri mereka sendiri dan serahkanlah mereka sebagai rampasan di negeri tempat tawanan. Janganlah tutup kesalahan mereka dan janganlah hapuskan dosa mereka dari hadapan-Mu, kerana mereka telah membangkitkan murka-Mu di depan pembina yang sedang menjalankan kerja pembinaan itu. Kami terus membina semula tembok sehingga seluruh tembok itu siap setakat separuh ketinggiannya, berkat usaha umat yang sememangnya bekerja dengan penuh tekad. Namun begitu, apabila Sanbalat, Tobia, orang Arab, bani Amon, dan orang Asdod mendengar perihal kemajuan pesat kerja-kerja pembaikan tembok Yerusalem dan betapa lubang-lubangnya mulai tertutup, maka sangat marahlah mereka. Mereka semua bermuafakat bersama untuk datang memerangi Yerusalem dan mengadakan huru-hara di sana. Tetapi kami berdoa kepada Allah kami dan atas sebab sikap mereka itu, kami menjalankan pengawalan siang dan malam. Sementara itu orang Yehuda berkata, “Kekuatan kalangan yang memikul barang buangan sudah merosot walhal masih ada begitu banyak puing hinggakan kami tidak dapat meneruskan pembinaan semula tembok itu.” Maka para seteru kami pun berkata, “Kita akan datang ke tengah-tengah mereka, membunuh mereka, dan menghentikan pekerjaan itu tanpa mereka ketahui atau sempat melihat kita sebelumnya.” Orang Yahudi yang tinggal dekat mereka datang dan memberitahu kami sampai sepuluh kali, “Ke mana-mana pun kamu berpaling, mereka akan menyerang kita.” Oleh sebab itu kutempatkan umat di bahagian-bahagian terendah di belakang tembok, di tempat-tempat yang terbuka. Aku menempatkan mereka menurut kaum keluarga mereka dengan pedang, tombak, dan panah mereka. Setelah kuamati, segeralah aku berkata kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat selebihnya, “Jangan takut kepada mereka. Ingatlah kepada Tuhan yang besar dan teramat hebat, dan berperanglah demi para saudaramu, anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan, isterimu, dan rumahmu.” Ketika musuh kami mendengar bahawa kami sudah mengetahui hal itu dan bahawa Allah telah menggagalkan rancangan mereka, maka kami semua dapat kembali ke tembok dan ke bahagian pekerjaan kami masing-masing. Sejak hari itu sebahagian daripada anak buahku bekerja dan sebahagian yang lain memegang tombak, perisai, busur panah, serta berbaju zirah, sedangkan para pemimpin menempatkan diri di belakang seluruh keturunan kaum Yehuda yang membina semula tembok. Orang yang memikul serta mengangkut beban melakukan pekerjaannya dengan sebelah tangan sementara sebelah tangan yang lain memegang senjata. Dan setiap pembina yang melaksanakan pembinaan semula menyandang pedang di pinggang masing-masing sambil bekerja, sementara orang yang meniup nafiri ada di sisiku. Kataku kepada para bangsawan, para pemimpin, dan umat yang selebihnya, “Pekerjaan ini besar dan luas, dan kita terpencar di atas tembok, berjauhan antara satu sama lain. Kalau kamu mendengar bunyi nafiri di suatu tempat, berkumpullah di sana mendapatkan kami. Allah kita akan berperang bagi kita.” Demikianlah kami melaksanakan pekerjaan itu dengan sebahagian daripada orang memegang tombak, dari waktu fajar menyingsing sampai waktu bintang-bintang muncul. Juga pada waktu itu aku berkata kepada rakyat, “Setiap orang dengan anak buahnya harus bermalam di Yerusalem, supaya mereka dapat menjadi penjaga kami pada malam hari dan bekerja pada siang hari.” Tidak ada daripada kami, baik aku, para saudaraku, anak buahku, mahupun para pengawalku yang sempat menanggalkan pakaian. Setiap orang membawa senjatanya sekalipun sewaktu mengambil air minuman.