NEHEMIA 2:9-20

NEHEMIA 2:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja mengutus beberapa orang pegawai tentera dan sepasukan askar berkuda untuk mengiringi aku dalam perjalananku ke Efrat Barat. Apabila aku tiba di sana, aku menyerahkan surat-surat raja itu kepada para gabenor. Tetapi Sanbalat, orang dari kota Bet-Horon, dan Tobia, pegawai dari wilayah Amon, mendengar bahawa ada orang yang datang untuk menolong umat Israel. Oleh itu mereka sangat marah. Aku meneruskan perjalanan ke Yerusalem. Selama tiga hari, aku tidak memberitahu sesiapa pun akan ilham Allah kepadaku tentang apa yang akan aku lakukan bagi kota Yerusalem. Kemudian, pada waktu tengah malam aku bangun dan keluar bersama-sama beberapa orang teman. Satu-satunya binatang yang aku bawa adalah keldai yang aku tunggangi. Hari masih gelap ketika aku keluar dari kota melalui Pintu Gerbang Lembah di sebelah barat, lalu aku menuju ke arah selatan, melalui Mata Air Naga, ke Pintu Gerbang Sampah. Selama perjalanan itu, aku memeriksa tembok kota yang sudah roboh dan pintu-pintu gerbangnya yang telah musnah dimakan api. Kemudian dari sebelah timur kota itu aku menuju ke utara, ke Pintu Gerbang Mata Air dan ke Kolam Raja. Di situ tidak ada tempat untuk berjalan bagi keldai yang aku tunggangi kerana reruntuhan terlalu banyak. Oleh itu aku turun ke Lembah Kidron dan meneruskan perjalanan, sambil memeriksa tembok kota. Setelah itu aku kembali ke kota mengikut jalan yang sama, yang melalui Pintu Gerbang Lembah. Tidak ada seorang pun pegawai tempatan tahu ke mana aku telah pergi dan apa yang aku lakukan. Setakat itu aku belum memberitahu sesiapa pun di kalangan sesama orang Yahudi, baik para imam, pemimpin, pegawai, atau sesiapa sahaja yang akan ikut membina semula kota Yerusalem. Tetapi kemudian aku berkata kepada mereka, “Lihatlah keadaan kita yang sengsara ini! Kota Yerusalem tinggal reruntuhan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api. Marilah kita bina semula tembok kota supaya kita tidak dihina lagi.” Kemudian aku menceritakan bagaimana Allah menyertai dan menolong aku, dan apa yang sudah dikatakan oleh raja kepadaku. Mereka menjawab, “Marilah kita mula membinanya!” Kemudian mereka bersiap untuk memulakan pekerjaan itu. Apabila Sanbalat, Tobia, dan seorang Arab yang bernama Gesyem mengetahui cadangan kami itu, mereka mentertawakan kami dan berkata, “Apa yang hendak kamu lakukan? Adakah kamu hendak memberontak terhadap raja?” Aku menjawab, “Allah penguasa di syurga akan memberi kami kejayaan. Kami ini hamba-hamba-Nya, dan kami akan memulakan pembinaan. Tetapi kamu tidak mempunyai hak atau milik apa-apa pun di Yerusalem. Bahkan apabila orang bercakap tentang Yerusalem, nama kamu tidak akan disebut-sebut.”

NEHEMIA 2:9-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sesampainya aku di seberang Sungai Efrat, surat-surat pengantar daripada raja kuserahkan kepada para pembesar. Selain itu raja pun telah menyuruh para panglima tentera dan pasukan berkuda menyertai aku. Ketika hal itu didengar oleh Sanbalat, orang Horon, dan Tobia, seorang pegawai bangsa Amon, bahawa ada orang yang datang untuk mengusahakan agar orang Israel beroleh kesejahteraan, mereka sangat tidak suka. Kemudian sampailah aku di Yerusalem, lalu berada di situ selama tiga hari. Setelah itu, aku bangun malam-malam dengan beberapa orang. Aku tidak memberitahu seorang pun rancangan apa yang ditaruh Allahku dalam hatiku untuk Yerusalem. Haiwan yang ada padaku hanyalah haiwan yang kutunggangi itu. Pada waktu malam aku keluar melalui Pintu Gerbang Lembah ke arah Air Pancut Naga dan ke Pintu Gerbang Sampah. Aku memeriksa tembok-tembok Yerusalem yang roboh serta pintu-pintu gerbangnya yang hangus dijilat api. Lalu aku berjalan terus ke Pintu Gerbang Air Pancut dan ke Kolam Raja, tetapi ruang laluannya tidak cukup bagi haiwan tungganganku. Jadi, pada malam itu naiklah aku dari lembah untuk memeriksa tembok itu. Kemudian aku kembali lagi, masuk melalui Pintu Gerbang Lembah, lalu pulang. Para pegawai tidak tahu ke mana aku pergi atau apa yang telah kulakukan. Sampai masa itu aku belum menguar-uarkan tugas itu kepada orang Yahudi, baik kepada imam, mahupun kepada bangsawan, pegawai, dan kalangan selebihnya yang kelak melaksanakan pekerjaan itu. Aku berkata kepada mereka, “Kamu lihat kesusahan yang kita alami, bagaimana Yerusalem rosak dan pintu-pintu gerbangnya hangus dijilat api. Mari kita bina semula tembok Yerusalem supaya kita tidak lagi menjadi bahan cacian.” Kemudiannya, aku menceritakan kepada mereka bagaimana tangan Allahku yang baik menaungi aku dan juga hal yang dikatakan raja kepadaku. Mereka pun menyahut, “Marilah kita bangkit dan siap untuk membina semula!” Lalu mereka menyediakan diri demi mencurahkan tenaga untuk pekerjaan yang baik itu. Tetapi ketika Sanbalat, orang Horon, juga Tobia, orang Amon, si pegawai itu, dan orang Arab itu iaitu Gesyem, mendengar hal itu, mereka mengolok-olokkan dan menghina kami. Kata mereka, “Apakah yang kamu lakukan itu? Adakah kamu mahu memberontak menentang raja?” Aku menjawab mereka dengan berkata, “Allah semesta langit, Dialah yang akan membuat kami berhasil. Kami, para hamba-Nya, akan bangkit dan siap untuk membina semula. Tetapi kamu tidak mempunyai bahagian atau hak atau sesuatu pun yang akan membuat kamu diingat di Yerusalem.”