NEHEMIA 1:1-11

NEHEMIA 1:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah laporan Nehemia anak Hakhalya tentang kegiatannya. Pada bulan Kislew, tahun kedua puluh pemerintahan Artahsasta sebagai raja Persia, aku, Nehemia, berada di Susan, ibu kota empayar. Pada masa itu, saudaraku Hanani, tiba dari Yehuda bersama dengan beberapa orang lain. Aku bertanya kepada mereka tentang keadaan di Yerusalem dan tentang sesama orang Yahudi yang sudah balik dari pembuangan di Babilonia. Mereka menceritakan bahawa orang bekas buangan yang sudah balik ke tanah air, kini hidup sengsara dan dihina oleh bangsa-bangsa asing yang tinggal di sekitar mereka. Lagipun tembok Yerusalem masih reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya belum diperbaiki sejak dibakar pada masa lampau. Apabila aku mendengar semua itu, aku duduk dan menangis. Selama beberapa hari aku meratap dan tidak makan apa-apa. Aku berdoa kepada Allah, “Ya TUHAN Allah penguasa di syurga! Engkau Allah yang agung, dan kami menghadap Engkau dengan penuh rasa takut. Engkau tetap setia memegang perjanjian-Mu dengan mereka yang mengasihi Engkau dan melakukan perintah-Mu. Pandanglah aku, ya TUHAN, dan dengarlah doaku, sedang aku berdoa siang dan malam untuk hamba-hamba-Mu, umat Israel. Aku mengaku bahawa kami, umat Israel, sudah berdosa. Nenek moyangku dan aku sudah berdosa. Kami sudah menderhaka terhadap-Mu, dan tidak melakukan perintah-Mu. Kami tidak mematuhi hukum yang Engkau berikan melalui Musa, hamba-Mu. Ya TUHAN, ingatlah akan firman-Mu kepada Musa dahulu, ‘Jika kamu, umat Israel, tidak setia kepada-Ku, Aku akan mencerai-beraikan kamu ke bangsa-bangsa lain. Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan melakukan perintah-Ku, Aku akan membawa kamu balik ke tempat yang sudah Kupilih sebagai tempat Aku disembah, walaupun kamu sudah tercerai-cerai di seluruh muka bumi.’ Ya Tuhan, mereka ini hamba-Mu, umat-Mu sendiri. Engkau sudah menyelamatkan mereka dengan kuasa dan kekuatan-Mu yang besar. Oleh itu, dengarkanlah doaku dan doa hamba-hamba-Mu yang lain, yang hendak menghormati Engkau. Berikanlah pertolongan-Mu supaya pada hari ini hamba-Mu berjaya mendapat belas kasihan daripada raja.” Pada masa itu, aku pengurus minuman raja.

NEHEMIA 1:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Nehemia anak Hakhalya meriwayatkan: Pada bulan Kislew tahun kedua puluh, ketika aku berada di kubu kota Susan, datanglah Hanani, salah seorang saudaraku, bersama-sama beberapa orang dari Yehuda. Aku bertanya kepada mereka tentang orang Yahudi yang berjaya bolos, yang terselamat setelah pembuangan mereka, dan tentang Yerusalem. Kata mereka kepadaku, “Saki-baki orang yang masih tinggal di wilayah sana, yang terselamat setelah pembuangan berada dalam kesusahan besar dan dalam keadaan tercela. Apatah lagi, tembok Yerusalem telah dirobohkan dan pintu-pintu gerbangnya musnah dijilat api.” Sebaik sahaja mendengar perkataan itu, duduklah aku lantas menangis dan berkabung selama beberapa hari. Aku berpuasa dan berdoa di hadapan Allah semesta langit, kataku, “Ya TUHAN, Allah semesta langit, Allah yang besar dan teramat hebat, yang berpegang teguh pada perjanjian-Nya serta kasih abadi-Nya terhadap orang yang mencintai-Nya dan menuruti segala perintah-Nya, semoga telinga-Mu mendengar dan mata-Mu terbuka untuk mendengar doa hamba-Mu yang sekarang kupanjatkan di hadapan-Mu siang dan malam bagi orang Israel, para hamba-Mu. Aku mengaku bahawa kami, orang Israel, termasuk aku dan seisi keluargaku, telah berdosa terhadap Engkau. Teramat fasiq kelakuan kami terhadap Engkau, dan kami tidak berpegang teguh pada segala perintah, segala ketetapan, dan segala peraturan yang telah Kausampaikan melalui hamba-Mu iaitu Musa. Ingatlah firman yang telah Kauperintahkan kepada Musa, hamba-Mu, ‘Jika kamu berbuat mungkar, maka Aku akan menyelerakkan kamu antara bangsa lain. Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku serta melakukannya, maka sekalipun orangmu yang terbuang ada di hujung langit, Aku akan mengumpulkan mereka dari sana dan membawa mereka ke tempat yang telah Kupilih untuk membuat nama-Ku bersemayam di sana.’ Mereka ini ialah para hamba-Mu dan umat-Mu yang telah Kautebus dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan kekuatan-Mu. Ya Tuhan, semoga telinga-Mu mendengar doa hamba-Mu ini dan doa para hamba-Mu yang rela menghormati nama-Mu. Berikanlah kejayaan kepada hamba-Mu hari ini dan kurniakanlah belas ihsan kepadanya di hadapan orang ini.” Pada waktu itu aku menjadi jururasa santapan raja.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami