MARKUS 4:30-34
MARKUS 4:30-34 Alkitab Berita Baik (BM)
“Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?” tanya Yesus. “Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya? Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah. Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.” Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti. Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.
MARKUS 4:30-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka katanya, Dŭngan apakah handak kusamakan akan krajaan Allah ini, atau dŭngan bandingan yang manakah handak kubandingkan akan dia itu. Iya itu spŭrti sa’biji bŭnih sŭsawi, maka apabila ditanamkan dia dibumi, maka iya tŭrlebih kŭchil adanya deri antara sagala bŭnih yang dibumi ini. Akan tŭtapi apabila iya tŭlah ditanamkan, maka bŭrtumbohlah iya, mŭnjadilah iya tŭrlebih bŭsar deripada sagala sayur sayuran, maka kluarlah pŭlŭpanya yang bŭsar bŭsar, sampielah mŭrgŭstua yang diudara itu bulih bŭrtŭdoh dibawah nawangnya. Maka adalah iya bŭrkata kapada marika itu dŭngan umpamaan umpamaan yang dŭmkian ini sŭbrapa yang bulih didŭngar ulih marika itu. Tŭtapi tiadalah iya bŭrchakap kapada marika itu lain deripada pŭrumpamaan; maka apabila Isa sŭrta murid muridnya itu bŭrsunyi sunyi, maka dinyatakannyalah sagala pŭrkara itu kapada marika itu.
MARKUS 4:30-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengan apakah dapat kita bandingkan kerajaan Allah?” kata Yesus lagi. “Apakah ibarat yang dapat digunakan untuk menjelaskannya? Kerajaan Allah itu seperti sebutir biji sesawi paling kecil di dunia yang ditabur di tanah. Tetapi apabila ditabur, benih itu tumbuh dan menjadi tumbuhan yang terbesar. Dahannya begitu rimbun sehingga burung di udara membuat sarang di bawah keteduhannya.” Dengan banyak ibarat yang semacam itu Yesus mengajar tentang firman kepada mereka, setakat yang dapat mereka faham. Dia tidak berucap kepada mereka tanpa menggunakan ibarat. Tetapi apabila Dia bersendiri dengan murid-murid-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya.