MARKUS 4:3-9
MARKUS 4:3-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Dengarlah! Seorang penyemai pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan, lalu dimakan burung. Ada pula yang jatuh di tempat berbatu yang kurang tanahnya. Benih itu segera bercambah kerana tanahnya tidak dalam. Tetapi ketika matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering kerana tidak berakar. Ada pula yang jatuh di tengah-tengah semak duri, lalu semak membesar dan membantutkannya sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu bertunas, membesar dan berbuah, hasilnya tiga puluh, enam puluh atau seratus kali ganda.” Lalu kata-Nya, “Sesiapa yang bertelinga, dengarlah!”
MARKUS 4:3-9 Alkitab Berita Baik (BM)
“Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”
MARKUS 4:3-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Dŭngarlah, bahwa sasungguhnya kluarlah sa’orang pŭnabor handak mŭnabor; Maka sŭtlah tŭngah ditabornya, ada sŭparoh yang jatoh ditŭpi jalan, maka datanglah mŭrgastua yang diudara mŭmakankan sampie habis. Dan lagi sŭparoh pula jatoh ditŭmpat yang bŭrbatu, yang tiada banyak tanahnya, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bŭrtumbohlah iya, kŭrna tanahnya itu tiada dalam; Tŭtapi apabila tinggilah matahari, hanguslah iya, ulih sŭbab tiada iya bŭrakar, layulah iya. Dan sŭparohnya pula jatohlah diantara duri duri, maka duri duri itu pun bŭrtumbohlah, dilŭmaskannya akan dia, jadilah tiada iya bŭrbuah. Dan yang lain pula jatohlah ditanah yang baik, maka bŭrbuahlah iya makin bŭrtambah tambah buahnya, ada yang tiga puloh, ada yang anam puloh, ada yang sa’ratus. Maka kata Isa kapada marika itu, Barang siapa yang ada bŭrtlinga akan mŭnŭngar, handaklah iya mŭnŭngar.