MARKUS 3:20-35

MARKUS 3:20-35 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, “Dia sudah gila!” Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk oleh Beelzebul! Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.” Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, “Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis? Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya. Ingatlah! Segala dosa yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal.” ( Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.”) Kemudian ibu dan saudara-saudara Yesus datang dan menunggu di luar. Mereka menyuruh orang memanggil Yesus. Ketika itu orang ramai sedang duduk di sekeliling Yesus dan mereka berkata kepada-Nya, “Guru, lihatlah! Ibu dan saudara-saudara guru ada di luar. Mereka memanggil guru.” Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihatlah, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! Sesiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”

MARKUS 3:20-35 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka sagala bŭlatŭntara itu pun datang bŭrhimpun pula, sampielah marika itu tiada sŭmpat makan roti. Maka apabila didŭngar ulih sahabat sahabat Isa akan halnya itu, kluarlah marika itu skalian handak mŭnangkap akan dia, kŭrna kata marika itu, iya itu gila. ¶ Maka sagala khatib khatib yang turon deri Jerusalem itu bŭrkata, Iya itu Bilzebab; maka dŭngan tulongan pŭnghulu jin jin iya mŭmbuangkan jin jin itu. Maka dipanggil ulih Isa akan marika itu, lalu bŭrkatalah padanya dŭngan umpamaan, Bagimanakah bulih Shietan itu mŭmbuangkan Shietan? Maka jikalau kiranya suatu krajaan itu bŭrchŭdra sama sŭndirinya, maka krajaan itu tiada bulih bŭrdiri. Maka jikalau kiranya isi sa’buah rumah itu bŭrchŭdra sama sŭndirinya, maka isi rumah itu kŭlak tiadalah bulih tŭtap. Maka jikalau kiranya Shietan itu bŭrbangkit mŭlawan sama sŭndirinya, sŭrta bŭrchŭdra, tiadalah bulih iya tŭtap, mŭlainkan itulah kasudahannya. Maka sa’orang pun tiada bulih masok kadalam rumah sa’orang yang gagah, sŭrta mŭrampas hartanya, mŭlainkan handaklah diikatnya dahulu orang gagah itu, kumdian bahrulah bulih dirampas rumahnya. Sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, sagala dosa itu akan diampuni kapada sagala anak Adam, dan hujat hujat yang handak dihujatkan ulih marika itu. Akan tŭtapi orang yang mŭmbuat hujat akan Roh Alkudus, iya itu skali kali tiada diampuni, mŭlainkan iya itu dalam bahya hukuman yang kŭkal. Kŭrna kata marika itu, bahwa adalah iya mŭnaroh jin yang nŭjis. ¶ Hata maka datanglah saudara saudara Isa, dan ibunya bŭrdiri diluar, disurohnya panggil akan dia. Maka adalah bŭlatantara yang dudok bŭrkliling dia itu, bŭrkata kapadanya, Tengoklah makmu dan saudara saudaramu diluar mŭnchari akan dikau. Maka jawabnya akan marika itu, katanya, Siapakah makku, atau saudara saudaraku itu? Maka dilihatnyalah bŭrkliling marika itu yang ada dudok bŭrsama sama dia, sŭrta katanya, Tengoklah makku, dan saudara saudaraku. Kŭrna barang siapa yang ada bŭrbuat kahandak Allah itu, iya itulah sama spŭrti saudara laki lakiku, dan saudara pŭrampuanku, dan makku.

MARKUS 3:20-35 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Selepas itu, Yesus masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. Apabila keluarga Yesus mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, “Dia tidak siuman.” Sebilangan ahli Taurat dari Yerusalem berkata, “Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa ketua roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.” Oleh itu, Yesus memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: “Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis? Kalau sebuah kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan. Dan jika sebuah keluarga berpecah belah, keluarga itu tidak dapat bertahan. Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya. Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya, kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan. Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.” Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, “Dia dirasuk roh jahat.” Apabila ibu dan saudara-saudara Yesus tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya. Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Yesus berkata kepada-Nya, “Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka hendak bertemu dengan-Mu.” Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, “Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.”