MARKUS 3:1-6
MARKUS 3:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, “Marilah ke depan.” Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, “Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?” Mereka diam sahaja. Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.
MARKUS 3:1-6 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka masoklah iya pula kadalam kŭnisa, maka adalah disana sa’orang yang tŭlah mati tangannya. Maka dinantikan ulih marika itu kalau kalau disŭmbohkan ulih Isa akan dia pada hari sabtu, supaya bulih ditudohkannya akan dia. Maka kata Isa kapada orang yang mati tangannya itu, Bŭrdirilah angkau. Lalu bŭrkatalah iya kapada sagala marika itu, Adakah patut bŭrbuat baik pada hari sabtu, atau bŭrbuat jahat? mŭmliharakan jiwa manusiakah, atau mŭmbunohkah? Akan tŭtapi marika itu tiada tŭrkata kata lagi. Maka apabila dilihat ulih Isa bŭrkliling marika itu dŭngan marah, ulih sŭbab susah hatinya, kŭrna kras hati marika itu, lalu bŭrkatalah iya kapada orang itu, Hulorkanlah tanganmu, lalu dihulorkannya, maka tangannya itu pun pulanglah sŭmula spŭrti tangannya sŭblah itu. Maka orang orang Farisia pun pŭrgilah sŭgra bŭrmufakat kapada orang orang Herodian, handak mŭnchari jalan bagimana bulih iya mŭmbinasakan dia.
MARKUS 3:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus masuk semula ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Ada beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Berdiri, marilah ke depan.” Kemudian Dia menyoal orang di situ, “Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Tetapi semuanya berdiam diri. Yesus memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras hati. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, lalu tangan itu terus sembuh. Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus.