MARKUS 3:1-21
MARKUS 3:1-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, “Marilah ke depan.” Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, “Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?” Mereka diam sahaja. Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus. Yesus dan pengikut-Nya pergi ke Tasik Galilea. Banyak sekali orang dari Galilea mengikut Dia. Banyak juga yang datang dari Yudea, dari Yerusalem, dari kawasan Idumea, dari kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, dan dari sekitar kota Tirus dan Sidon. Orang ramai datang kepada Yesus, kerana mereka mendengar hal-hal yang telah dilakukan-Nya. Orang begitu banyak sehingga Yesus menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu bagi-Nya, supaya Dia tidak terhimpit. Dia telah menyembuhkan banyak orang. Oleh itu semua orang sakit berasak-asak hendak menyentuh Dia. Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, “Engkaulah Anak Allah!” Dengan tegas Yesus melarang roh jahat mengatakan siapa Dia. Kemudian Yesus pergi ke kawasan berbukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya. Mereka datang, lalu Yesus memilih dua belas orang antara mereka. Dia berkata kepada mereka, “Aku telah memilih kamu supaya menyertai Aku. Aku juga mengutus kamu untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. Kamu akan mendapat kuasa untuk mengusir roh jahat.” Inilah dua belas orang yang dipilih-Nya: Simon (yang juga disebut-Nya Petrus); Yakobus dan saudaranya, Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberikan-Nya nama Boanerges, yang bererti “anak guntur”); Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon Si Patriot, dan juga Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, “Dia sudah gila!”
MARKUS 3:1-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka masoklah iya pula kadalam kŭnisa, maka adalah disana sa’orang yang tŭlah mati tangannya. Maka dinantikan ulih marika itu kalau kalau disŭmbohkan ulih Isa akan dia pada hari sabtu, supaya bulih ditudohkannya akan dia. Maka kata Isa kapada orang yang mati tangannya itu, Bŭrdirilah angkau. Lalu bŭrkatalah iya kapada sagala marika itu, Adakah patut bŭrbuat baik pada hari sabtu, atau bŭrbuat jahat? mŭmliharakan jiwa manusiakah, atau mŭmbunohkah? Akan tŭtapi marika itu tiada tŭrkata kata lagi. Maka apabila dilihat ulih Isa bŭrkliling marika itu dŭngan marah, ulih sŭbab susah hatinya, kŭrna kras hati marika itu, lalu bŭrkatalah iya kapada orang itu, Hulorkanlah tanganmu, lalu dihulorkannya, maka tangannya itu pun pulanglah sŭmula spŭrti tangannya sŭblah itu. Maka orang orang Farisia pun pŭrgilah sŭgra bŭrmufakat kapada orang orang Herodian, handak mŭnchari jalan bagimana bulih iya mŭmbinasakan dia. Akan tŭtapi Isa sŭrta dŭngan sagala murid muridnya pun undorlah pŭrgi katasik, maka banyaklah orang deri Galilia, dan Yahuda mŭngiringkan dia. Dan lagi deri Jerusalem, dan Idumia, dan sŭbrang sungie Jordan; dan orang orang kliling Thor dan Sidon, banyak sangat orang, tŭtkala didŭngar ulih marika itu, bŭtapa bŭsar pŭrkara pŭrkara yang dipŭrbuatnya, lalu datanglah marika itu mŭndapatkan dia. Maka katanya kapada murid muridnya, Surohkanlah mŭnanti sa’buah pŭrahu kŭchil bagieku, kŭrna tŭrlalu banyak bŭlatantara ini, nanti kŭlak bŭrkrumun padaku. Kŭrna iya tŭlah mŭnyŭmbohkan orang banyak, sahingga marika itu skalian yang ada bŭrpŭnyakit datang mŭnghimpit akan dia, ulih sŭbab handak dijamahnya akan dia. Maka apabila dilihat ulih sagala hantu yang nŭjis itu akan dia, jatohlah tŭrsungkor dihadapannya, sambil bŭrtriak, katanya, Angkaulah Anak Allah. Maka dipŭsan Isa dŭngan sŭgranya, supaya jangan dia orang bri tahu deri halnya. Hata maka naiklah iya ka’atas sa’buah gunong, sŭrta dipanggilnya barang siapa yang dikahandakinya, maka marika itu pun datanglah kapadanya. Maka dijadikannyalah dua blas orang, supaya handaklah marika itu bŭrsama sama dŭngan dia, dan supaya bulih disurohkannya marika itu pŭrgi mŭngajar ajar; Sŭrta bŭrulih kwasa akan mŭnyŭmboh sagala pŭnyakit, dan mŭmbuangkan sagala jin. Adapun Simon itu digŭlarnya Petros; Dan Yakob anak Zabdi, sŭrta Yahya saudaranya, digŭlarnya Boanerjes, iya itu artinya anak anak guntor. Dan lagi Andria, dan Filipus, dan Bartholomew, dan Mathius, dan Tomas, dan Yakob anak Alfius, dan Thadius, dan Simon orang Kanaan. Dan Yuda Iskariot yang mŭnyŭrahkan dia; maka marika itu masok kadalam sa’buah rumah. Maka sagala bŭlatŭntara itu pun datang bŭrhimpun pula, sampielah marika itu tiada sŭmpat makan roti. Maka apabila didŭngar ulih sahabat sahabat Isa akan halnya itu, kluarlah marika itu skalian handak mŭnangkap akan dia, kŭrna kata marika itu, iya itu gila.
MARKUS 3:1-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Yesus masuk semula ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Ada beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Oleh itu, mereka mengawasi Yesus sama ada Dia menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Berdiri, marilah ke depan.” Kemudian Dia menyoal orang di situ, “Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan atau membinasakan nyawa?” Tetapi semuanya berdiam diri. Yesus memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras hati. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkan tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, lalu tangan itu terus sembuh. Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus. Yesus beredar ke laut bersama murid-murid-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea, Yerusalem, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya. Begitu ramainya orang sehingga Yesus menyuruh murid-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit. Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya. Apabila orang yang dirasuk roh-roh jahat melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, “Engkau Anak Allah.” Yesus melarang keras mereka mengatakan siapa Dia. Kemudian Yesus naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya. Yesus memilih dua belas orang antara murid-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis. Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga diberi-Nya nama Petrus); Yakobus dan saudaranya Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberi-Nya nama Boanerges, yang bermakna Anak Petir); Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya. Selepas itu, Yesus masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Yesus dan murid-murid-Nya tidak sempat makan. Apabila keluarga Yesus mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, “Dia tidak siuman.”