MARKUS 2:24-28
MARKUS 2:24-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.” Yesus berkata lagi, “Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.”
MARKUS 2:24-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata orang orang Farisia kapada Isa, Tengoklah, mŭngapakah marika itu bŭrbuat dalam hari sabtu akan pŭrkara yang haram. Maka jawabnya kapada marika itu, Tiada pŭrnahkah angkau mŭmbacha barang apa yang dipŭrbuat ulih Daud, tŭtkala iya tŭrsŭsak, sŭrta dŭngan laparnya, bŭsŭrta dŭngan sagala orang orang yang ada bŭrsama sama dŭngan dia? Bagimana iya tŭlah masok kadalam rumah Allah, iya itu pada zaman Abiather, imam bŭsar itu, lalu dimakannya roti pŭrsŭmbahan yang haram dimakan, mŭlainkan kapada imam imam sahja, sŭrta dibrikannya pula kapada orang yang ada bŭrsama sama dŭngan dia. Maka katanya pada marika itu, Adapun hari sabtu itu tŭlah dijadikan ulih sŭbab manusia, dan bukannya manusia itu dijadikan sŭbab hari sabtu. Maka sŭbab itulah Anak manusia pun Tuhan juga kapada hari sabtu.
MARKUS 2:24-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, mereka melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan mereka yang berada bersamanya kekurangan dan kelaparan? Dia masuk ke Rumah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai imam besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.” Yesus menambah, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat.”