MARKUS 2:18-28

MARKUS 2:18-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?” Yesus menjawab, “Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa. Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak. Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!” Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum. Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.” Yesus berkata lagi, “Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.”

MARKUS 2:18-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan murid murid Yahya, dan orang orang Farisia itu biasa puasa. Maka datanglah marika itu bŭrkata pada Isa, Mŭngapakah murid murid Yahya, dan orang orang Farisia itu puasa, akan tŭtapi murid muridmu itu tiada puasa? Maka kata Isa pada marika itu, Bulihkah sahabat sahabat mŭmplie itu bŭrpuasa, sŭlagi ada mŭmplie itu bŭrsama sama dŭngan dia? Sŭbrapa lama ada mŭmplie itu dŭngan marika itu, tiada bulih bŭrpuasa. Akan tŭtapi ada hari yang akan datang, apabila mŭmplie itu kŭlak diambil deripadanya, maka bahrulah marika itu akan bŭrpuasa. Sa’orang pun tiada mŭnampalkan sa’kŭping kain yang bahru kapada pakiean yang lama, nanti kŭlak kain bahru yang ditampalkannya itu mŭngoyak yang lama itu, maka koyaknya itu mŭnjadi tŭrlebih jahat pula. Sa’orang pun tiada mŭnaroh ayer anggor yang bahru itu kadalam kulit yang lama, nanti kŭlak ayer anggor bahru itu mŭmŭchahkan kulit itu, dan ayer anggor itu pun tumpah, maka kulit itu pun nanti rosaklah; akan tŭtapi ayer anggor yang bahru itu patutlah dibubohkan kadalam kulit yang bahru. ¶ Maka skali pŭrstua, Isa pŭn bŭrjalan jalan mŭlalui ladang ladang gandom pada hari sabtu, maka murid muridnya pun sambil bŭrjalan itu, dipŭteknyalah gandom bŭrtangkie tangkie. Maka kata orang orang Farisia kapada Isa, Tengoklah, mŭngapakah marika itu bŭrbuat dalam hari sabtu akan pŭrkara yang haram. Maka jawabnya kapada marika itu, Tiada pŭrnahkah angkau mŭmbacha barang apa yang dipŭrbuat ulih Daud, tŭtkala iya tŭrsŭsak, sŭrta dŭngan laparnya, bŭsŭrta dŭngan sagala orang orang yang ada bŭrsama sama dŭngan dia? Bagimana iya tŭlah masok kadalam rumah Allah, iya itu pada zaman Abiather, imam bŭsar itu, lalu dimakannya roti pŭrsŭmbahan yang haram dimakan, mŭlainkan kapada imam imam sahja, sŭrta dibrikannya pula kapada orang yang ada bŭrsama sama dŭngan dia. Maka katanya pada marika itu, Adapun hari sabtu itu tŭlah dijadikan ulih sŭbab manusia, dan bukannya manusia itu dijadikan sŭbab hari sabtu. Maka sŭbab itulah Anak manusia pun Tuhan juga kapada hari sabtu.

MARKUS 2:18-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu masa ketika para murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi berpuasa, beberapa orang datang kepada Yesus lalu bertanya, “Murid Yohanes Pembaptis dan murid orang Farisi sedang berpuasa, mengapa murid-murid-Mu tidak?” Yesus menjawab, “Patutkah tetamu dalam jamuan perkahwinan berpuasa semasa pengantin lelaki masih bersama mereka? Selagi pengantin lelaki ada bersama mereka, tidaklah mereka berpuasa. Tetapi akan tiba saatnya pengantin lelaki diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tiada siapa akan menampal pakaian lama dengan perca kain baru, kerana tampalan baru itu akan mengecut dan semakin koyaklah pakaian lama. Begitu juga, tiada siapa menuangkan air anggur yang baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Kalau dilakukan, air anggur baru akan memecahkan kirbat, dan kedua-duanya terbuang. Air anggur baru mesti dituangkan ke dalam kirbat yang baru.” Pada suatu hari Sabat, Yesus dan murid-murid-Nya berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya mula memetik bulir gandum. Kemudian orang Farisi berkata kepada Yesus, “Lihatlah, mereka melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!” Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud semasa dia dan mereka yang berada bersamanya kekurangan dan kelaparan? Dia masuk ke Rumah Allah sewaktu Abiatar berjawat sebagai imam besar lalu makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. Daud juga memberikan roti itu kepada mereka yang ada bersamanya.” Yesus menambah, “Hari Sabat diwujudkan untuk manusia, bukannya manusia diwujudkan untuk hari Sabat. Jadi Anak Manusia jugalah Tuhan atas hari Sabat.”