MARKUS 2:1-12
MARKUS 2:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah. Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka. Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, “Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, “Mengapa kamu berfikir demikian? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan’? Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!” Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!”
MARKUS 2:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬTLAH bŭbrapa hari kumdian, maka masoklah pula iya kadalam nŭgri Kapŭrnaum, maka pŭchahlah khabar iya ada dalam rumah. Maka dŭngan sŭgranya banyaklah orang bŭrkampong kampong, sampie tiada lagi bŭrtŭmpat marika itu handak disambut, jangankan masok, dipintu pun tiada muat; maka diajarkannyalah marika itu pŭrkataan Allah. Maka datanglah marika itu kapadanya mŭmbawa sa’orang sakit tepok yang dipikol ulih ampat orang. Maka apabila tiada bulih marika itu dŭkat kapadanya ulih sŭbab sŭsak, maka dibukalah ulih marika itu atap yang ditŭmpat Isa ada, maka apabila sudah dipŭchahkannya, lalu dihulorkannya katil orang sakit tepok itu ada baring. Maka sŭrta dilihat ulih Isa akan imannya, lalu katanya kapada orang sakit tepok itu, Anak, dosamu tŭlah diampuni padamu. Akan tŭtapi adalah bŭbrapa orang khatib khatib dudok disana bŭrfikir fikir dalam hatinya, Mŭngapakah orang ini mŭmbuat hujat kapada Allah? Siapakah bulih mŭngampuni dosa? mŭlainkan Allah sahja. Maka sŭrta sudah dikŭtahui Isa dalam dirinya, marika itu ada mŭnaroh fikiran dŭmkian, lalu katanya, Mŭngapakah kamu bŭrfikir sagala pŭrkara ini dalam hatimu? Yang manakah tŭrlebih sŭnang dikatakan kapada orang sakit tepok itu, dosamu tŭlah diampunikah? atau bŭrkata, bangunlah angkau sŭrta angkat katilmu lalu bŭrjalan? Tŭtapi supaya kamu bulih mŭngtahui, bahwa Anak manusia itu bŭrkwasa iya diatas bumi ini akan mŭngampuni dosa, lalu iya bŭrkata kapada orang yang sakit tepok itu, Aku bŭrkata kapadamu, bangunlah, angkat katilmu, pulanglah angkau karumahmu. Maka dŭngan sŭbŭntar itu juga bangunlah iya, sŭrta diangkatnya katilnya, bŭrjalanlah iya dihadapan marika itu skalian, sampielah sagala orang orang itu pun tŭrchŭnganglah, sŭrta mŭmuliakan Allah, katanya, Tiada pŭrnah kami mŭlihat macham ini.
MARKUS 2:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa hari kemudian, Yesus pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu. Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Yesus pun menyampaikan firman kepada mereka. Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. Mereka tidak dapat membawanya kepada Yesus kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.” Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, “Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Tetapi Yesus segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau, ‘Bangun, angkat tikarmu dan berjalan’? Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.” Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat kejadian begini!”