MARKUS 15:40-47
MARKUS 15:40-47 Alkitab Berita Baik (BM)
Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus. Hari sudah senja ketika Yusuf dari Arimatea tiba. Dia seorang ahli Majlis Agama yang dihormati orang. Dia menunggu-nunggu masanya Allah memerintah. Hari itu hari Persiapan (iaitu hari sebelum hari Sabat). Oleh itu dengan berani Yusuf menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. Pilatus hairan mendengar bahawa Yesus sudah meninggal. Lalu dia memanggil ketua askar dan bertanya sama ada Yesus sudah lama meninggal. Setelah mendengar laporan ketua askar itu, Pilatus membenarkan Yusuf mengambil jenazah Yesus. Lalu Yusuf membeli kain linen. Setelah dia menurunkan jenazah Yesus, dia membalut jenazah itu dengan kain linen, lalu meletakkan jenazah itu di dalam sebuah kubur baru yang dipahat di bukit batu. Selepas itu dia menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu. Maria Magdalena dan Maria, ibu Yoses memperhatikan tempat jenazah Yesus diletakkan.
MARKUS 15:40-47 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka adalah disana pŭrampuan pŭrampuan pun mŭlihat deri jauh, maka diantaranya itu ada Mŭriam Magdalani, dan Mŭriam ibu Yakob kŭchil, dan Yuso, dan Salomi: (Yang tŭlah mŭngikot kapada Isa tŭtkala iya diGalilia dan tŭlah bŭrkhodmat akan dia) dan banyaklah pŭrampuan yang lain lain pun yang tŭlah datang bŭrsama sama dŭngan Isa kaJerusalem. ¶ Maka apabila sampielah pŭtang, sŭbab hari disŭdiakan iya itu hari dahulu deripada hari Sabtu. Maka Yusof orang Arimathia, iya itu sa’orang orang bichara yang tŭrmulia; dan lagi pun ada mŭnantikan kŭrajaan Allah, datanglah iya masok dŭngan braninya mŭminta kapada Pilatus akan mayat Isa. Maka hieranlah Pilatus kalau sudah iya mati! maka dipanggilnyalah akan pŭnghulu sa’ratus orang, ditanyanya akan dia, kalau kalau sudah lamakah iya mati? Maka apabila dikŭtahuinyalah deripada pŭnghulu sa’ratus orang itu, dibrikannyalah akan mayat itu kapada Yusof. Maka dibŭlikannyalah kain khasa nipis, lalu dituronkannyalah mayat Isa, sŭrta dibungkusnya dalam kain khasa itu, maka ditarohkannyalah dalam suatu kubor yang tŭlah tŭrukir deripada sa’buah batu, maka digolekkannya sa’buah batu kapada pintu kubor itu. Maka Mŭriam Magdalani, dan Mŭriam ibu Yusof pun mŭlihatlah dimana Isa tŭlah dilŭtakkan.
MARKUS 15:40-47 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beberapa orang wanita menyaksikan segala-galanya dari jauh. Antara mereka ialah Maria Magdalena, serta Maria ibu Yakobus Muda dan Yoses, serta Salome. Mereka wanita yang mengikut dan menolong Yesus ketika Dia di Galilea. Ada ramai juga wanita yang datang dengan Yesus ke Yerusalem. Hari sudah lewat petang. Hari itu Hari Persediaan, iaitu sehari sebelum hari Sabat. Yusuf dari Arimatea, seorang ahli terkemuka Majlis Agama yang sedang menunggu kerajaan Allah, datang lalu memberanikan hatinya menghadap Pilatus dan memohon untuk mengambil jenazah Yesus. Pilatus hairan mendengar Yesus sudah pun meninggal dunia, lalu memanggil ketua tentera dan bertanya sama ada Yesus sudah meninggal. Setelah mendengar laporan ketua tentera itu, dia pun menyerahkan jenazah Yesus kepada Yusuf. Yusuf membeli kain linen yang baik, menurunkan jenazah Yesus dan mengafankannya dengan kain itu. Dia membaringkan jenazah itu di dalam sebuah makam yang telah digali di permukaan batu pejal, lalu menggulingkan sebuah batu besar menutup pintu makam itu. Maria Magdalena dan Maria ibu Yoses memerhatikan tempat makam itu.