MARKUS 13:1-37

MARKUS 13:1-37 Alkitab Berita Baik (BM)

Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, seorang daripada para pengikut-Nya berkata, “Guru, lihatlah! Betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” Yesus menjawab, “Kamu melihat bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Semuanya akan dirobohkan.” Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun lalu duduk di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas datang kepada-Nya. Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, beritahulah kami; bilakah semua perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?” Yesus berkata kepada mereka, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ Mereka akan menipu banyak orang. Janganlah risau apabila kamu mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Sebuah kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana sahaja akan berlaku gempa bumi dan kebuluran. Semua ini hanya permulaan, sama seperti sakit yang dialami wanita yang akan bersalin. Kamu sendiri mesti berhati-hati. Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, lalu kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka. Berita Baik itu mesti dikhabarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan. Apabila tiba masanya, katakanlah apa yang diberitahu kepada kamu pada waktu itu. Kata-kata yang kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Allah. Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.” “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk! Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu. Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga. Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.” “Selepas masa kesusahan itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan. Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit.” “Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera. Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.” “Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya. Keadaannya seperti seorang yang meninggalkan rumahnya lalu pergi ke tempat yang jauh. Dia menyuruh hamba-hambanya menjaga rumah, setelah dia memberikan tugas kepada mereka. Kepada penjaga pintu, dia berpesan supaya berjaga baik-baik. Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya tuan rumah itu balik; mungkin pada petang hari, tengah malam, subuh, atau pada waktu matahari terbit. Jika dia datang dengan tiba-tiba, janganlah kamu didapati tidur. Apa yang Aku katakan kepada kamu, Aku katakan juga kepada semua orang: Berjaga-jagalah!”

MARKUS 13:1-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN maka tŭngah Isa kluar deri ka’abah itu, bŭrkatalah sa’orang deripada murid muridnya kapadanya, Guru, tengoklah apa macham batu batu, dan apa macham rumah ini? Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapadanya, Lihatlah kamu rumah yang bŭsar ini, maka iya itu kŭlak tiada akan tŭrtinggal sa’buah batu pun diatas yang lain, yang tiada akan diruntohkan. Maka tŭngah dudok Isa digunong Zieton, diatas bŭrtŭntangan dŭngan ka’abah, maka Petros, dan Yakob, dan Yahya, dan Andria bŭrtanyalah kapadanya pŭrlahan lahan: Katakanlah kapada kami, bilakah pŭrkara pŭrkara ini kŭlak akan jadi, apakah tandahnya tŭtkala sagala pŭrkara ini kŭlak akan gŭnap? Maka dijawab Isa akan marika itu, dimulainya bŭrkata, Ingatlah baik baik, asal jangan barang orang mŭnipu akan dikau. Kŭrna banyaklah kŭlak yang datang dŭngan namaku, katanya, Akulah Almasih; maka iya akan mŭnipu banyak orang. Maka apabila angkau kŭlak mŭnŭngar pŭrang pŭrang, dan pŭrgadohan pŭrang pŭrang, maka janganlah kiranya angkau bŭrsusah, kŭrna pŭrkara yang dŭmkian itu dapat tiada kŭlak akan jadi, akan tŭtapi kasudahannya bŭlom lagi sampie. Kŭrna bangsa akan bŭrbangkit mŭlawan bangsa, dan krajaan pun mŭlawan krajaan; maka adalah kŭlak akan jadi gŭmpa bumi dalam bŭrbagie bagie tŭmpat, dan lagi kŭlaparan pun dan kasusahan akan jadi; maka itulah pŭrmulaan susah. Tŭtapi ingatlah baik baik akan dirimu sŭndiri, kŭrna marika itu akan mŭnyŭrahkan kamu kapada mŭjŭlis bichara, dan kŭdalam kŭnisa kŭnisa akan disŭsahnya kamu, maka kamu akan dibawanya kahadapan pŭnghulu pŭnghulu, dan raja raja ulih sŭbab aku akan mŭnjadi saksi mŭlawan marikaitu. Adapun Injil itu dapat tiada pŭrtama tama dimashorkan diantara sagala bangsa. Tŭtapi apabila dibawa marika itu akan dikau dan disŭrahkannya kamu, maka janganlah kamu bŭrfikir dahulu, apakah yang kamu handak bŭrkata atau bŭringat ingat, mŭlainkan barang yang akan dikurniakan padamu waktu itu, itulah kamu katakan, kŭrna bukannya kamu yang bŭrkata kata itu mŭlainkan Roh Alkudus. Maka saudara itu akan mŭnyŭrahkan saudaranya akan dibunoh, bapa itu kapada anak, maka kanak kanak itu kŭlak akan bŭrbangkit mŭlawan ibu bapanya dan iya kŭlak akan mŭnyŭrahkan dia supaya dibunoh. Maka kamu kŭlak akan dibŭnchikan ulih orang skalian ulih sŭbab namaku, tŭtapi barang siapa yang bulih mŭnahan sampie kasudahan iya itulah kŭlak akan dipliharakan. ¶ Maka apabila kamu mŭlihat kŭlak akan kŭjahatan yang kŭbŭnchian itu, yang dikatakan ulih nabi Danial, tŭrdiri ditŭmpat yang tiada patut, biarlah orang yang mŭmbacha itu mŭngarti, sŭtlah itu maka biarlah yang ada dalam tanah Yahuda bŭrlari kapada gunong gunong. Maka biarlah orang yang ada diatas rumahnya jangan iya turon kŭdalam rumah atau masok kŭdalam mŭmbawa kluar barang apa deri rumahnya. Maka biarlah orang yang diladang itu janganlah iya balik kŭmbali pula kŭrna mŭngambil pakieannya. Tŭtapi karamlah kiranya bagie marika itu yang ada mŭngandong, dan kapada marika itu yang mŭmbri susu pada masa itu. Maka mŭmintalah doa kamu supaya kŭlarianmu jangan jadi dalam musim dingin. Kŭrna pada masa itu kŭlak akan jadi kŭdukaan yang bŭlom jadi deripada pŭrmulaan kŭjadian yang dijadikan Allah sampie pada masa ini, atau yang akan datang. Maka jikalau kiranya tiada disengkatkan Tuhan akan masa itu, nŭschaya tiadalah sa’orang manusia tŭrplihara, tŭtapi sŭbab orang yang tŭrpileh, iya itu yang sudah dipileh, iya tŭlah mŭnyengkatkan masa itu. Maka kumdian kalau barang siapa bŭrkata padamu, Tengoklah disini ada Almasih, atau tengoklah disana ada dia, janganlah pŭrchaya. Kŭrna Almasih Almasih dusta, dan Nabi Nabi dusta itu akan bŭrbangkit, iya akan mŭngunjokkan tandah tandah dan ajaib ajaib yang mŭmpŭrdayakan dŭngan sŭbulih bulihnya, mŭskipun orang yang pilehan. Tŭtapi ingatlah angkau baik baik, sŭsunguhnya aku tŭlah mŭngatakan kapadamu tŭrdahulu sagala pŭrkara itu. ¶ Tŭtapi pada masa itu, kumdian deripada kasusahan itu, matahari kŭlak akan mŭnjadi kŭlam, dan bulan pun tiada akan mŭmbri chahyanya; Maka bintang bintang yang dilangit itupun akan gugor dan kwasa kwasa yang ada dilangit pun akan bŭrgunchang. Maka kumdian marika itu kŭlak akan mŭlihat Anak manusia datang dalam awan dŭngan kwasa yang bŭsar dan kamuliaan. Maka kumdian iya akan mŭnyurohkan maliekat maliekatnya mŭngampongkan akan orang pilehannya deripada ampat fihak mata angin, deripada hujong bumi sampielah kapada hujong langit. Maka skarang pun bŭlajarlah suatu pŭrumpamaan deripada puhon ara ini: maka apabila charangnya ada lagi lŭmbut dan bŭrtumboh daun, bahwa kamu kŭtahui musim panas pun hampirlah. Sparti yang dŭmkianlah kamu akan mŭlihat pŭrkara pŭrkara ini kŭlak lalu, kŭtahuilah itu iya tŭlah dŭkat, sŭsungguhnya adalah dimuka pintu. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, Adapun kŭturunan ini tiada akan lalu sampie sagala pŭrkara ini kŭlak jadi. Bahwa langit dan bumi ini kŭlak akan putus, tŭtapi pŭrkataanku ini tiada akan putus adanya. ¶ Tŭtapi adapun masa itu dan jam itu sa’orang manusia pun tiada tau, mŭskipun maliekat maliekat yang dilangit, atau Anak, mŭlainkan Ayah itu. Handaklah angkau ingat baik baik, bŭrjaga sŭrta mŭminta doa, kŭrna kamu tiada mŭngtahui bilakah waktu itu: Kŭrna Anak manusia itu iya itu sparti sa’orang manusia tŭlah bŭrjalan kapada pŭrjalanan yang jauh, yang tŭlah mŭninggalkan rumahnya, dan tŭlah mŭmbri kwasa kapada hamba hambanya, dan kapada sagala orang dalam pŭkŭrjaannya, dan disuroh pŭnunggu pintu bŭrjaga. Maka sŭbab itu bŭrjagalah kamu, kŭrna kamu tiada mŭngtahui bilakah datangnya tuany ang ampunya rumah, pada pŭtangkah atau tŭngah malamkah, atau pada waktu ayam bŭrkokok, atau pada pagi harikah? Maka sŭkunyung kunyung datanglah iya, barang kali didapatinya kamu tidor. Maka apa yang aku kata kapadamu itu, aku bŭrkata kapada sagala orang, Jagalah.

MARKUS 13:1-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Yesus sedang melangkah keluar dari Bait Suci, seorang murid-Nya berkata, “Guru, lihatlah batu dan bangunan yang luar biasa di sini!” Yesus menjawab, “Adakah kamu melihat bangunan yang hebat-hebat ini? Tiada seketul pun batunya akan tinggal tersusun; semuanya akan dirobohkan.” Ketika Dia duduk di atas Bukit Zaitun setentang dengan Bait Suci, murid-Nya Petrus, Yakobus, Yohanes dan Andreas bertanya kepada-Nya secara peribadi, “Katakanlah kepada kami, bilakah hal-hal itu akan terjadi? Apakah tanda-tandanya semua ini akan terjadi seperti yang telah dikatakan?” Yesus mula berkata kepada mereka, “Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun! Ramai akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah Dia.’ Mereka akan membuat ramai orang terperdaya. Apabila kamu mendengar peperangan dan desas-desus peperangan, jangan gentar; kerana hal-hal begitu harus terjadi, tetapi belum sampai waktunya akhir zaman. Bangsa akan bangkit bertarung dengan bangsa, kerajaan dengan kerajaan. Gempa bumi akan berlaku di merata-rata, dan juga kebuluran. Segala ini cuma permulaan kesakitan sebelum bersalin. Berhati-hatilah tentang dirimu, kerana mereka akan mengheretmu ke hadapan majlis dan memukulmu di dalam saumaah. Kamu akan dibawa kepada pemerintah dan raja kerana-Ku, untuk memberikan kesaksian kepada mereka. Injil mesti disebarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. Apabila mereka menangkapmu dan menyerahkanmu kepada pihak berkuasa, janganlah khuatir apa yang akan kamu katakan. Tetapi apa yang diberitahu kepadamu pada waktu itu, tuturkanlah, kerana yang bertutur itu Roh Kudus, bukanlah kamu. Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan.” “Apabila kamu melihat ‘kekejian yang membawa kebinasaan’ berdiri di tempat terlarang baginya (hendaklah para pembaca memperhatikan ertinya) orang yang ada di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah turun atau masuk ke rumah untuk mengambil apa-apa. Yang di ladang usahlah pulang mengambil pakaian. Malanglah ibu yang mengandung dan yang menyusui anak pada masa itu! Berdoalah semoga hal-hal itu tidak terjadi pada musim dingin. Pada masa itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta Allah hingga waktu itu dan tidak akan pernah berlaku lagi. Kalaulah Tuhan tidak menyingkatkan masa itu, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan yang dipilih-Nya, masa itu disingkatkan-Nya. Pada waktu itu, jika orang berkata kepadamu, ‘Lihat, Kristus ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia ada di sana!’ janganlah percaya; kerana beberapa kristus palsu dan nabi palsu akan muncul dan menunjukkan pelbagai tanda serta keajaiban untuk memperdaya orang, kalau boleh termasuk umat pilihan. Berhati-hatilah. Lihat, Aku telah memberitahumu semua ini sebelum terjadi. Pada masa itu, selepas kesengsaraan, ‘Matahari akan dikelamkan, dan bulan tidak akan bersinar lagi; bintang-bintang di langit akan gugur, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.’ Kemudian mereka akan melihat Anak Manusia datang dalam awan penuh dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. Setelah itu, Dia akan menghantar para malaikat-Nya dan menghimpunkan umat pilihan-Nya dari empat mata angin, dari hujung bumi ke hujung langit. Sekarang, kajilah ibarat daripada pokok ara: Apabila dahan-dahannya sudah melembut dan mula bertunas, kamu tahu musim panas hampir tiba. Begitulah juga kamu. Apabila kamu melihat perkara-perkara ini, ketahuilah kamu bahawa waktunya hampir tiba, sudah di ambang pintu! Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, angkatan zaman ini tidak akan luput sebelum segalanya ini terjadi. Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap.” “Tetapi tentang hari atau waktunya tiada siapa yang tahu baik para malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. Berhati-hatilah! Berjaga dan berdoa! Kerana kamu tidak tahu bila saatnya. Umpama seorang yang berpergian: Dia meninggalkan rumahnya dan memberikan kekuasaan kepada hamba-hambanya, setiap orang dengan tugasnya serta memerintahkan penjaga pintu supaya berjaga-jaga. Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak tahu bila tuan rumah akan pulang — pada waktu petang, atau tengah malam, ketika ayam berkokok, atau pada waktu pagi — takut kalau-kalau dia datang tiba-tiba dan mendapatimu sedang tidur. Apa yang Kukatakan kepadamu, Kukatakan kepada semua: ‘Berjagalah!’ ”