MARKUS 11:22-33

MARKUS 11:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [ Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]” Mereka kembali lagi ke Yerusalem. Ketika Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya. Mereka bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?” Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Jawablah dan Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?” Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia …’ ” (Mereka takut akan orang ramai, kerana semua orang berpendapat bahawa Yohanes seorang nabi.) Oleh itu mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka. “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.”

MARKUS 11:22-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Pŭrchayalah akan Allah. Kŭrna sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang siapa yang bŭrkata kapada gunong ini, bŭrpindahlah angkau, dan tŭrbuanglah angkau kŭdalam laut, dŭngan tiada shak dalam hatinya, mŭlainkan pŭrchayalah iya barang yang dikatakannya itu akan jadi, maka iya akan mŭndapat barang apa yang dikatanya itu. Maka sŭbab itulah aku bŭrkata kapadamu, barang suatu yang kamu kahandaki, apabila kamu mŭminta doa pŭrchayalah, bahwa kamu akan mŭnŭrima dia, dan kamu kŭlak akau mŭndapat dia. Maka apabila kamu bŭrdiri sŭmbahyang, jikalau kamu ada mŭnaroh isi hati kapada barang siapa, ampunilah, supaya Ayahmu pun yang ada dishorga bulih mŭngampuni akan kŭsalahanmu. Tŭtapi jikalau tiada angkau ampuni, maka Ayahmu pun yang ada dishorga tiada mŭngampuni akan kŭsalahanmu. ¶ Maka datanglah pula marika itu kaJerusalem, tŭngah Isa bŭrjalan dalam ka’abah, datanglah kapadanya kapala kapala imam, dan khatib khatib, dan orang tua tua: Maka katanya kapada Isa, Dŭngan kwasa siapakah angkau bŭrbuat pŭrkara pŭrkara ini, dan siapakah tŭlah mŭmbri kwasa kapadamu akan mŭmbuat pŭrkara pŭrkara ini? Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Aku pun bŭrtanya kapadamu suatu sual, jawablah kapadaku, maka bulihlah aku bŭrkata kapadamu, dŭngan kwasa siapa aku bŭrbuat pŭrkara pŭrkara ini. Pŭmbaptisan Yahya itu deripada shorgakah, atau deri pada manusiakah? Jawablah akan daku. Maka bŭrfikirlah marika itu sama sŭndirinya, katanya, Jikalau kita kata deri shorga, iya akan bŭrkata, mŭngapakah kamu tiada mahu pŭrchaya akan dia? Tŭtapi jikalau kita kata deripada manusia, takotlah marika itu kapada kaum itu, kŭrna skalian marika itu mŭmbilang Yahya itu sŭsungguhnya sa’orang nabi adanya. Maka jawab marika itu sŭrta bŭrkata kapada Isa, Tiada bulih kami mŭngatakan. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Maka aku pun tiadalah mahu mŭngatakan kapadamu, dŭngan kwasa siapa aku bŭrbuat pŭrkara pŭrkara ini.

MARKUS 11:22-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Berimanlah kepada Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika sesiapa berkata kepada gunung, ‘Beralihlah dan terhumbanlah ke laut,’ tanpa ragu dalam hatinya dan dengan sepenuh kepercayaan bahawa apa yang dikatakannya akan berlaku, maka akan terjadilah seperti kata-katanya itu. Oleh itu, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam doa, percayalah kamu akan menerimanya, maka kamu akan mendapatnya. Setiap kali kamu berdoa, jika ada sesiapa yang bersalah terhadapmu, ampunilah dia, supaya Bapamu di syurga juga akan mengampunkan kesalahanmu. Tetapi jika kamu tidak mengampuni, Bapamu di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu.” Selepas itu, mereka masuk semula ke Yerusalem. Sedang Dia berjalan di dalam Bait Suci, ketua-ketua imam, ahli-ahli Taurat dan tua-tua datang kepada-Nya. Mereka berkata kepada-Nya, “Dengan kuasa apakah Kamu melakukan perkara-perkara ini? Dan siapakah yang memberi-Mu kuasa untuk melakukannya?” Tetapi Yesus menjawab, “Aku juga akan bertanya satu soalan kepadamu. Jawablah soalan-Ku, maka Aku akan menyatakan kepadamu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara itu. Baptisan Yohanes daripada syurga atau daripada manusia? Jawablah soalan-Ku!” Mereka pun berbincang sesama sendiri, “Kalau kita berkata, ‘Daripada syurga’ Dia akan berkata, ‘Kalau begitu, mengapa kamu tidak percaya kepadanya?’ Tetapi, apa pula kalau kita berkata, ‘Daripada manusia!’ ” (Mereka takut akan orang ramai itu yang semuanya menganggap Yohanes seorang nabi.) Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata, “Aku pun tidak akan memberitahumu dengan kuasa apa Aku melakukan perkara-perkara ini.”