MARKUS 10:1-25
MARKUS 10:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu. Dia pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Orang ramai berkumpul lagi di sekeliling Yesus, dan seperti biasa Yesus mula mengajar mereka. Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, “Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?” Yesus menjawab dengan bertanya, “Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?” Mereka menjawab, “Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.” Yesus berkata kepada mereka, “Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa ‘Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan. Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!” Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu. Yesus berkata kepada mereka, “Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama. Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.” Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.” Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka. Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, “Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” “Mengapa kamu mengatakan Aku baik?” tanya Yesus. “Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. Kamu tahu akan hukum Allah: ‘Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.’ ” “Guru,” kata orang itu, “sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.” Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, “Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.” Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, “Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!” Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, “Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
MARKUS 10:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA bangunlah Isa deri sana, lalu datanglah kapada jajahan nŭgri Yahuda yang deri sŭblah sungie Jordan, maka orang orang pun bŭrkampong kapadanya pula, maka spŭrti adatnya, diajarnyalah pula akan marika itu. Maka datanglah orang orang Farisia kapadanya handak mŭnchobai akan dia, lalu bŭrtanya, Adakah halal bagie sa’orang mŭmbuangkan istrinya? Maka jawabnya sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Apakah yang dipŭsan ulih Musa akan dikau? Maka kata marika itu, Tŭlah diluluskan ulih Musa mŭmbuat suatu surat chŭrie, dan mŭmbuangkan pŭrampuan itu. Maka jawab Isa sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Ulih sŭbab kras hati kamulah, maka disuratkan hukum ini. Akan tŭtapi deripada pŭrmulaan kŭjadian, dijadikan Allah marika itu laki laki, dan pŭrampuan. Maka ulih sŭbab itulah manusia itu mŭninggalkan bapanya, dan ibunya, bŭrdampinglah iya dŭngan istrinya. Maka marika itu kaduanya akan mŭnjadi suatu daging, maka dŭngan hal yang dŭmkian bukannya lagi marika itu bŭrdua, mŭlainkan suatu daging adanya. Maka sŭbab itu barang apa yang dijodohkan Allah, janganlah manusia ini mŭnchŭriekan. Maka murid muridnya pun bŭrtanyalah kapadanya dalam rumah lagi derihal itu. Maka katanya kapadanya, Barang siapa yang mŭmbuangkan istrinya, sŭrta kahwen pula kapada yang lain, iya itu bŭrzinah kapada pŭrampuan itu. Maka jikalau kiranya sa’orang pŭrampuan akan mŭmbuangkan suaminya itu, sŭrta kahwen iya kapada yang lain, maka dialah bŭrzinah. ¶ Maka dibawakanlah ulih marika itu kanak kanak kapada Isa, supaya dijamahnya akan dia, maka murid muridnya pun mŭnŭngkingkan orang yang mŭmbawa akan dia itu. Tŭtapi apabila dilihat Isa itu, maka tiada dipŭrkŭnankannya skali kali, lalu katanya kapada marika itu, Biarkanlah kanak kanak itu datang kapadaku, janganlah dilarangkan akan dia, kŭrna sŭbagienya itulah krajaan Allah. Maka sŭsungguhnya aku bŭrkata kapadamu, barang siapa yang tiada mŭnŭrima akan krajaan Allah itu spŭrti sa’orang kanak kanak, maka iya kŭlak tiada masok kŭdalamnya. Maka didokonglah ulih Isa akan budak budak itu, sŭrta dibubohnya tangannya kaatasnya, lalu dibŭrkatinya akan dia. ¶ Shahadan apabila Isa sudah kluar kapada lorong, maka bŭrlari larilah sa’orang datang sŭrta bŭrtŭlot kapadanya sŭraya mŭminta kapadanya, Guru yang baik: Apakah yang patut aku pŭrbuat supaya aku mŭmpusakai hayat yang kŭkal? Maka kata Isa kapadanya, Mŭngapakah angkau mŭmanggil aku baik? tiada sa’orang pun baik mŭlainkan satu, iya itu Allah. Kamu kŭtahui akan hukum kukum itu: Jangan bŭrbuat zinah; jangan mŭmbunoh; jangan mŭnchuri; jangan mŭnjadi saksi dusta; jangan mŭnipu; muliakanlah ibu bapamu. Maka jawabnya kapadanya, Guru, ada hamba mŭmliharakan skalian ini deripada kŭchil hamba. Maka dipandang Isa, sŭrta kasih akan dia, sambil bŭrkata kapadanya, Suatu pŭrkara angkau ada korang; pŭrgilah jualkan barang sŭsuatu yang ada kapadamu, brikan kapada orang mŭskin, maka angkau akan dapat pŭrbandahran dalam shorga; marilah angkau, angkat salib, ikotlah aku. Maka duka chitalah iya sŭbab pŭrkataan itu, lalu pulanglah iya dŭngan duka chita; kŭrna adalah iya itu mŭnaroh harta tŭrlalu banyak. ¶ Maka dipandang Isa bŭrkliling, sŭrta bŭrkata kapada murid muridnya, Bagimanakah susahnya orang yang mŭnaroh kŭkayaan itu masok kŭdalam krajaan Allah. Maka murid muridnya pun hieranlah mŭnŭngarkan pŭrkataannya, tŭtapi dijawab Isa lagi, sŭrta bŭrkata kapada marika itu, Kanak kanak, bagimana susah kapada orang yang bŭrgantong kapada kŭkayaan itu masok kŭdalam krajaan Allah! Maka adalah tŭrlebih sŭnang sa’ekor onta itu masok kŭdalam liang jarom deripada sa’orang orang kaya itu masok kŭdalam krajaan Allah.
MARKUS 10:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah itu, Yesus beredar dari situ lalu pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Ramai sekali orang yang datang kepada-Nya, dan seperti biasa, Dia pun mengajar mereka. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan menduga-Nya. Mereka bertanya, “Menurut hukum, bolehkah seseorang menceraikan isterinya?” Dia menjawab, “Apa yang diperintahkan oleh Musa kepadamu?” Mereka berkata, “Musa membenarkan seseorang lelaki menulis surat cerai dan menyuruh isterinya pergi.” Yesus menjawab mereka, “Disebabkan hati kamu begitu tegar, Musa menuliskan peraturan itu. Tetapi sejak alam dicipta, Allah ‘telah menjadikan lelaki dan perempuan.’ ‘Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.’ Maka mereka bukan lagi dua tetapi satu. Apa yang telah disatukan oleh Allah, janganlah manusia pisahkan.” Di dalam rumah, murid-murid-Nya bertanya lagi kepada-Nya tentang hal ini. Dia menjawab, “Sesiapa yang menceraikan isterinya dan berkahwin dengan perempuan lain, berzina. Begitu juga, jika seseorang wanita menceraikan suaminya dan berkahwin dengan lelaki lain, dia berzina.” Selepas itu, orang membawa kanak-kanak kecil kepada-Nya supaya Dia menyentuh mereka, tetapi murid-murid-Nya memarahi mereka. Tetapi apabila Yesus melihat hal itu, Dia sungguh tidak menyenanginya, lalu berkata, “Biarkan kanak-kanak kecil itu datang kepada-Ku; jangan larang mereka, kerana orang yang seperti itulah yang empunya Kerajaan Allah. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang tidak menerima kerajaan Allah seperti seorang anak kecil, tidak akan masuk ke dalamnya.” Yesus mendukung dan mendakap kanak-kanak kecil itu, meletakkan tangan-Nya ke atas mereka, dan memberkati mereka. Ketika Dia sedang melangkah ke jalan, seorang datang berlari-lari, berlutut kepada-Nya dan bertanya, “Wahai Guru yang baik, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?” Yesus berkata kepadanya, “Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada siapa yang baik kecuali Allah. Engkau mengetahui perintah-perintah Allah: ‘Jangan berzina, jangan membunuh, jangan mencuri, jangan memberi kesaksian palsu, jangan mungkir, hormatilah ibu bapamu.’ ” Orang itu menjawab, “Guru, semua ini telah kutaati dari usia muda lagi.” Yesus memandangnya dengan penuh kasih lalu berkata, “Ada satu kekuranganmu. Pergilah, jual segala yang ada padamu dan sedekahkan kepada orang miskin, maka kamu akan mendapat harta di syurga. Sesudah itu datanglah dan ikut Aku.” Tetapi orang itu sedih mendengar kata-kata ini lalu pergi dengan dukacita, kerana dia mempunyai banyak harta. Kemudian Yesus memandang sekeliling dan berkata kepada murid-murid-Nya, “Betapa susahnya bagi orang kaya memasuki kerajaan Allah!” Para murid-Nya kehairanan mendengar kata-kata-Nya. Tetapi Yesus berkata lagi, “Anak-anak-Ku, betapa susahnya untuk memasuki kerajaan Allah! Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya memasuki kerajaan Allah.”