MARKUS 1:29-38
MARKUS 1:29-38 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka. Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia. Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” Tetapi Yesus menjawab, “Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.”
MARKUS 1:29-38 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka sŭtlah sudah skalian marika itu kluar deri dalam kŭnisa itu, maka masoklah iya kadalam rumah Simon dan Andri, sŭrta dŭngan Yakob dan Yahya. Akan tŭtapi mŭntua pŭrampuan Simon itu ada tŭrbaring dŭngan sakit dŭmam, maka dŭngan sŭgranya marika itu pŭrgilah mŭmbri tahu kapada Isa akan hal pŭrampuan itu. Maka datanglah iya, lalu mŭmŭgang pŭrampuan itu dŭngan tangannya, lalu dibangunkannya, skutika itu juga dŭmam itu pun hilanglah, lalu pŭrampuan itu bŭrkhodmat padanya. Maka pada pŭtang hari, tŭlah matahari masok, dibawakanlah marika itu kapadanya orang orang yang saket, dan orang orang yang tŭrkŭna jin. Maka sagala orang isi nŭgri itu pun bŭrkamponglah dimuka pintu; Lalu disŭmbohkannyalah bŭbrapa banyak orang yang ada bŭrjŭnis jŭnis pŭnyakit, sŭrta dibuangkannya bŭbrapa jin, dan tiadalah dibrinya jin itu bŭrchakap lagi, kŭrna tŭlah dikŭtahui ulih jin itu akan dia. ¶ Hata bangunlah Isa pada pagi pagi hari sŭbŭlom siang, lalu kluarlah iya, sambil bŭrjalanlah iya pŭrgi kapada suatu tŭmpat yang sunyi, maka disanalah iya minta doa. Maka Simon sŭrta sagala marika itu yang ada bŭrsama sama dŭngan dia itu pun mŭngikotlah deri blakangnya. Maka apabila marika itu bŭrtŭmulah dŭngan dia, lalu katanya padanya, Sŭmua orang mŭnchari Tuan. Lalu katanya pada marika itu, Marilah kita pŭrgi kanŭgri nŭgri dŭkat dŭkat ini, supaya disana pun bulih juga aku mŭngajar, ulih sŭbab itulah aku ini datang.
MARKUS 1:29-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus dan murid-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, keluar dari saumaah itu lalu ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mertua Simon sedang demam terbaring di tempat tidur. Setibanya Yesus di situ, Dia diberitahu tentang hal itu. Yesus menghampiri ibu mertua Simon, memegang tangannya dan menolongnya bangun. Demam wanita itu hilang lalu dia melayan mereka. Apabila malam menjelang, semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Semua penduduk kota berhimpun di hadapan pintu itu. Yesus menyembuhkan ramai orang daripada pelbagai penyakit. Dia juga menghalau roh-roh iblis sambil memerintahkan mereka diam kerana mereka tahu siapa Dia. Keesokannya, pada waktu subuh, Yesus bangun lalu pergi ke luar kota ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan rakan-rakannya pergi mencari Yesus. Setelah menjumpai-Nya, mereka berkata: “Semua orang sedang mencari-Mu!” Yesus berkata, “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang.”