MARKUS 1:16-20
MARKUS 1:16-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.” Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus. Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.
MARKUS 1:16-20 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka tŭtkala iya bŭrjalan ditŭpi tasik Galilia, maka dilihatnya Simon dŭngan saudaranya Andria, mŭmbuang pukat dalam tasik, kŭrna marika itu nilayan adanya. Maka kata Isa pada marika itu, Marilah kamu ikot akan daku, aku akan mŭnjadikan dikau nilayan manusia. Maka dŭngan sŭgranya marika itu mŭninggalkan pukatnya, lalu mŭngikot dia. Maka apabila bŭrjalanlah iya jauh sŭdikit, dilihatnya pula Yakob anak Zabdi, dan Yahya saudaranya, yang dudok diprahu mŭmbubol pukat pukatnya. Maka dŭngan sŭgranya dipanggilnya akan marika itu, maka marika itu pun mŭninggalkanlah Zabdi, bapanya itu dalam pŭrahu, dŭngan orang upah upahan, lalu diikotnyalah blakangnya.
MARKUS 1:16-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sedang berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak Simon dan saudaranya Andreas, sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan. Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.” Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya. Sejurus berjalan, Yesus melihat dua orang lagi adik-beradik, bernama Yakobus dan Yohanes, anak Zebedeus. Mereka sedang duduk mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus terus memanggil mereka. Kedua-dua beradik itu meninggalkan bapa mereka, Zebedeus, dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus.