MIKHA 7:1-3,18-20
MIKHA 7:1-3 Alkitab Berita Baik (BM)
Tidak ada harapan lagi! Aku seperti orang lapar yang tidak menemui buah pada pokok ataupun buah anggur pada pokok anggur. Semua buah anggur dan buah ara yang sedap sudah habis dipetik. Tiada lagi orang jujur di dalam negeri; tiada lagi orang yang setia kepada Allah. Setiap orang menantikan peluangnya untuk membunuh. Setiap orang memburu sesama bangsanya. Mereka semua mahir melakukan kejahatan. Para pegawai dan hakim minta rasuah. Orang kenamaan memaksakan kemahuan mereka. Oleh itu mereka bersama-sama bersepakat untuk melakukannya.
MIKHA 7:18-20 Alkitab Berita Baik (BM)
Ya TUHAN, tiada yang seperti Engkau. Engkau mengampunkan dosa umat-Mu yang masih hidup. Engkau tidak murka selama-lamanya, tetapi Engkau suka menunjukkan kasih-Mu yang abadi kepada kami. Engkau akan mengasihani kami lagi. Engkau akan memijak-mijak dosa kami dan membuangnya ke dasar laut! Engkau akan menunjukkan kesetiaan-Mu dan kasih-Mu yang abadi kepada umat-Mu, keturunan Abraham dan Yakub, seperti yang Engkau janjikan kepada nenek moyang kami dahulu kala.
MIKHA 7:1-3 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Malangnya aku! Kerana keadaanku seperti keadaan setelah tamatnya masa pengumpulan buah-buahan musim panas, seperti keadaan setelah tamatnya masa pemetikan susulan buah anggur. Tidak ada setandan anggur untuk dimakan atau buah ara pertama yang kusukai. Kalangan salih telah hilang dari bumi, tidak ada lagi yang tulus antara manusia. Mereka semua mengancam dan menantikan darah, setiap orang memburu saudaranya dengan jaring. Kedua-dua belah tangan mereka terampil berbuat jahat, para pembesar meminta hadiah, para hakim menerima rasuah, dan orang besar berbicara jahat sesuka hati. Demikianlah mereka bermuafakat bersama-sama.
Mikha 7:18-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Siapakah Allah yang seperti Engkau, yang mengampunkan kesalahan, dan yang menghapuskan pelanggaran daripada sisa harta pusaka-Nya? Dia tidak mempertahankan murka-Nya untuk seterusnya, kerana Dia menyukai kasih abadi. Dia akan kembali mengasihani kita, Dia akan menginjak-injak kesalahan kita. Engkau akan membuang segala dosa kami ke laut yang dalam. Engkau akan melimpahkan kesetiaan-Mu kepada Yakub dan kasih abadi-Mu kepada Abraham, seperti yang telah Kaujanjikan dengan bersumpah kepada nenek moyang kami sejak zaman dahulu.