MATIUS 9:27-31
MATIUS 9:27-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, “Hai Anak Daud, kasihanilah kami.” Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, “Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?” “Ya, Tuan!” jawab mereka. Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, “Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!” Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, “Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.” Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu.
MATIUS 9:27-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Maka apabila bŭrjalanlah Isa deri sana, maka datanglah dua orang buta mŭngikot dia, sambil bŭrtriak, katanya, Kasihankanlah kami hie anak Daud. Maka apabila masoklah Isa kadalam sa’buah rumah, lalu datanglah orang buta itu kapadanya, maka kata Isa pada marika itu, Adakah kamu pŭrchaya yang aku bŭrkwasa bŭrbuat ini? maka kata marika itu, Sasungguhnya Tuhan. Tŭtkala itu maka dijamahnyalah matanya, sambil bŭrkata, Bagimana yang angkau pŭrchaya jadilah padamu. Maka tŭrchŭleklah matanya; lalu dilarangkan ulih Isa sangat pada marika itu, katanya, Ingat baik baik, supaya jangan dikŭtahui ulih sa’orang jua pun akan hal ini. Maka apabila pŭrgilah marika itu, lalu dipŭchahkannyalah khabar itu pada sagala nŭgri itu.
MATIUS 9:27-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus meninggalkan tempat itu, dua orang buta mengikut-Nya sambil berseru, “Wahai Anak Daud, kasihanilah kami!” Ketika Yesus masuk ke rumah, kedua-dua orang buta itu mendekati-Nya. Yesus bertanya, “Percayakah kamu bahawa Aku dapat menyembuhkanmu?” “Percaya, Tuhan!” jawab mereka. Yesus pun menyentuh mata mereka sambil berkata, “Kerana imanmu, terjadilah seperti apa yang kamu inginkan!” Pada ketika itu juga mereka menjadi celik. Yesus mengingatkan mereka, “Jangan ceritakan hal ini kepada siapa pun.” Tetapi mereka pergi menyebarkan khabar tentang Yesus ke seluruh daerah itu.