MATIUS 9:10-13
MATIUS 9:10-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. Carilah makna ayat Alkitab ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.’ Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.”
MATIUS 9:10-13 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Skali pŭrstua tŭtkala Isa dudok makan dalam sa’buah rumah, maka sasungguhnya banyak orang mŭmŭgang chukie dan orang bŭrdosa pun datanglah dudok makan sa’hidangan dŭngan Isa sŭrta murid muridnya. Maka apabila dilihat ulih orang Farisia akan hal itu, bŭrkatalah marika itu kapada murid muridnya, Apa sŭbabnya Guru kamu makan bŭrsama sama dŭngan orang orang mŭmŭgang chukie dan orang bŭrdosa? Maka dŭmi didŭngar ulih Isa, lalu katanya kapada marika itu, Tiadalah bŭrguna Tabib kapada orang yang sehat, mŭlainkan kapada orang yang sakit. Sŭbab itu, pŭrgilah kamu pŭlajari artinya pŭrkataan itu, Aku mahu bŭrkasih kasihan tŭrlebih deripada mŭmbri korban: kŭrna bukannya aku datang mŭnjŭmput orang yang bŭnar, mŭlainkan orang yang bŭrdosa itu supaya taubat.
MATIUS 9:10-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ketika Yesus sedang makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama Yesus dan murid-murid-Nya. Orang Farisi yang melihat perkara itu bertanya kepada murid-murid Yesus, “Mengapa gurumu makan bersama pemungut cukai dan orang berdosa?” Yesus terdengar pertanyaan itu lalu menjawab, “Orang sakitlah yang memerlukan tabib, bukannya orang sihat. Kajilah erti ayat ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Itulah maka Aku datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa.”