MATIUS 8:5-17

MATIUS 8:5-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, “Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.” Yesus berkata kepadanya, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.” Tetapi ketua askar itu menjawab, “Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, ‘Ke mari!’ dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, “Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.” Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.” Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga. Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus. Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, “Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.”

MATIUS 8:5-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Maka apabila masoklah Isa kadalam nŭgri Kapŭrnaum, maka datanglah kapadanya sa’orang Pŭnghulu orang sratus, mŭminta kapadanya; Katanya, Tuhan ada hambaku tŭrhantar sakit tepok dalam rumah dŭngan tŭrlalu sŭngsaranya. Maka kata Isa padanya, Bulihlah aku datang mŭnyŭmbohkan dia. Maka disahut ulih Pŭnghulu itu, katanya, Tuhan, bahwa tiadalah layak angkau masok kabawah atap gŭntingku, mŭlainkan dŭngan spatah kata juga Tuhan bŭrkata, hambaku itu bulih sŭmboh: Kŭrna adalah hamba ini pun sa’orang orang yang dibawah prentah, maka adalah pula rayat rayat dibawah hamba; maka hamba surohkan sa’orang pŭrgi, maka iya pŭrgi, dan kapada sa’orang datang, maka datanglah iya, dan kusuroh bŭrbuat barang apa kapada hambaku, maka dipŭrbuatnya. Maka apabila didŭngar Isa akan pŭrkataannya, hieranlah iya, sambil iya bŭrkata kapada orang yang mŭngikot dia, Maka dŭngan sasungguhnya aku bŭrkata kapadamu, maka bŭlom pŭrnah aku mŭndapat iman yang stŭgoh ini diantara orang orang, kapada orang Israil pun tidak. Tŭtapi aku bŭrkata kapadamu, bahwa banyaklah orang akan datang deri sŭblah barat dan timor dudok bŭrsama sama dŭngan Ibrahim, dan Isahak, dan Yakob dalam krajaan shorga. Tŭtapi anak anak krajaan itu akan ditolakkan kadalam gŭlap yang jauh skali deripada trang itu, maka disanalah ada ratap dan gŭrtak gigi. Maka kata Isa pada Pŭnghulu itu, Pulanglah angkau, maka sŭbagimana yang angkau pŭrchaya, sŭbŭgitulah jadi bagiemu; maka hambanya itu pun sŭmbohlah pada waktu itu juga. ¶ Sŭbarmula maka Isa pun masoklah karumah Petros, maka dilihatnya mŭntua pŭrampuannya ada tŭrhantar sakit dŭngan dŭmam. Maka dijamah ulih Isa tangannya, maka dŭmamnya pun tŭrbanglah, maka pŭrampuan itu pun bangunlah lalu mŭlayani dia. ¶ Sŭtlah pŭtang hari, maka dibawa oranglah kapadanya bŭbrapa orang yang tŭrkŭna jin, maka dibuangkannya sagala jin itu dŭngan pŭrkataannya juga, dan sagala orang yang sakit itu pun disŭmbohkannyalah. Maka supaya gŭnaplah barang yang dikatakan ulih nabi Jasia, katanya, Bahwa iyalah juga yang mŭnanggong sagala kalŭmahan kami, sŭrta mŭnahan sagala kŭsakitan kami.

MATIUS 8:5-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Yesus sampai di Kapernaum, seorang ketua tentera menjumpai-Nya dan merayu kepada-Nya: “Tuan, hambaku sakit di rumah, terlantar di katil tidak dapat bergerak, dan amat derita.” Yesus menjawab, “Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkannya.” Tetapi ketua tentera itu berkata, “Usahlah Tuan datang ke rumahku. Aku tidak layak menyambut Tuan ke rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. Aku juga di bawah perintah orang atasan, dan aku ada askar di bawah tanganku. Apabila aku menyuruh seorang askar, ‘Pergi!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Mari!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buat ini!’ dia melakukannya.” Yesus terkagum mendengarnya lalu berkata kepada orang ramai yang mengikut-Nya, “Sesungguhnya, belum pernah Kutemui orang yang demikian teguh imannya, walau di Israel pun. Ketahuilah! Ramai orang akan datang dari timur dan barat lalu duduk di meja menikmati jamuan bersama Abraham, Ishak dan Yakub dalam kerajaan syurga. Sebaliknya, anak-anak kerajaan itu akan dihumbankan ke dalam kegelapan di luar; di sana akan terdapat ratapan dan kertakan gigi.” Lalu Yesus berkata kepada ketua tentera itu, “Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan terjadi.” Pada ketika itu juga sembuhlah hamba ketua tentera itu. Yesus pergi ke rumah Petrus. Dia melihat ibu mertua Petrus terbaring di katil kerana demam. Apabila Yesus menyentuh tangannya, serta-merta demamnya hilang. Dia pun bangun, dan melayan Yesus. Setelah hari petang, ramai orang yang dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus. Dia menghalau roh-roh iblis itu dengan sepatah kata sahaja dan menyembuhkan semua yang sakit. Yesus melakukan semua itu supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: “Dialah yang memikul kelemahan kita dan menanggung penyakit kita.”